Previous
  • http://helipc.kk.usm.my/
Next
  • 1
  • 2
  • 3

KEKALKAN NAMA BAIK UNIVERSITI DI PERSADA DUNIA

KUBANG KERIAN, KELANTAN 23 Jun 2013  – Penuh istiadat dan meriah. Itulah ungkapan yang paling sesuai bagi mengambarkan suasana Majlis Graduasi “White Coat” dan Penyampaian Anugerah 2013 Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan yang berlangsung pada hari ini. Diserikan dengan kehadiran para ibu bapa serta sanak saudara para graduan menceriakan lagi majlis tersebut.

Jumlah graduan PPSP yang layak berijazah pada Sidang Akademik 2012/2013 ialah seramai 186 orang manakala seramai 10 orang graduan pula telah dianugerahkan dengan Anugerah Khas dalam bidang bidang pengajian seperti Bidang Oftalmologi, Pediatrik, Otorinolaringologi, Anestesiologi, Psikiatri, Perubatan, Ortopedik, Perubatan Keluarga serta seorang graduan telah terpilih untuk menerima Anugerah Sijil Dekan PPSP.

Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed yang menyifatkan para graduan sebagai anak anaknya berharap agar mereka semua dapat membawa diri dengan baik apabila berada dalam lapangan kerjaya nanti selain mampu mengekalkan nama baik universiti di persada antarabangsa. Berucap ketika merasmikan majlis tersebut, beliau berharap perkara ini diberi perhatian khusus oleh semua graduan.

“Bukan semua orang mampu mengapai impian mereka dalam hidup ini, oleh itu peluang yang ada gunakanlah dengan sebaiknya untuk menabur budi dan bakti kepada bangsa dan negara.”

“Tuan puanlah yang bakal mencorakkan pola kesihatan negara sekaligus membantu proses pembangunan Malaysia serta mengangkat bidang Perubatan kita ke peringkat antarabangsa,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman turut menyampaikan ucapan tahniah beliau kepada semua graduan PPSP dan memohon maaf kerana tidak dapat bersama di majlis ini disebabkan komitmen kerja yang lain.

Manakala terdahulu dalam ucapan alu aluan oleh Dekan PPSP, Profesor Dr.  Ahmad Sukari Halim di majlis yang sama, beliau mengucapkan tahniah kepada ibu bapa para graduan kerana telah berjaya membesarkan dan mendidik anak anak mereka sehingga mampu sampai ke tahap ini serta menjadi kebanggaan keluarga.

Beliau juga turut mengingatkan para graduan agar menjadi seorang doktor yang bersikap profesional dan merawat pesakit dengan penuh keikhlasan serta setulus hati dan janganlah semata mata mengejar kekayaan duniawi.

“Sayangilah pesakit sebagaimana anda sayang pada anak anda sendiri dan hormatilah pesakit sebagaimana anda menghormati ibu bapa anda sendiri, “ kata Sukari.

Turut sama dalam majlis tersebut  ialah para pensyarah PPSP serta pegawai pegawai utama USM yang lain.

Sementara itu, dalam majlis berasingan yang diadakan pada sebelah malamnya pula di salah sebuah hotel di Kota Bharu, para graduan telah diraikan dalam Majlis Makan Malam Graduasi PPSP.  Majlis yang dianjurkan ini adalah bagi meraikan para graduan tersebut yang telahpun berjaya menamatkan tahun akhir pengajian mereka.

Pelbagai acara menarik telah diadakan seperti nyanyian oleh pelajar PPSP, cabutan bertuah dan juga penyampaian beberapa anugerah kepada para pelajar tersebut dalam pelbagai aspek yang dinilai sepanjang bergelar mahasiswa / mahasiswi PPSP seperti penglibatan aktif dalam bidang sukan, aspek kepimpinan serta kecemerlangan akademik.

Timbalan Pengarah Projek,  Encik Nasrinsa Shahul Hamed yang mewakili  Pengarah Projek semasa berucap dalam majlis makan malam tersebut menyampaikan rasa terima kasih Pengarahnya kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus berganding bahu untuk memastikan kedua dua majlis pada hari ini berjalan lancar.

“Sesungguhnya tanpa bantuan dan kerjasama daripada semua pihak, tidak mungkin ini semua akan berjalan dengan baik dan sempurna, “ katanya.

Hadir sama pada majlis ini ialah Pengarah Kampus Kesihatan, USM, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, Dekan PPSP, Profesor  Dr.  Ahmad Sukari Halim dan isteri serta pegawai pegawai utama universiti yang lain.