OBESITI DALAM KALANGAN KANAK-KANAK MALAYSIA MERUNCING

KOTA BHARU, KELANTAN, 2 Januari 2020  -  Malaysia dinamakan sebagai sebuah negara yang mempunyai kadar obesiti paling tinggi dalam kalangan kanak-kanak di Asia Tenggara dengan nisbah 1:5 kanak-kanak mempunyai berat berlebihan atau obes dan hal ini sangat membimbangkan.

DrSitiFatimahAbuHussain

Menurut Pegawai Perubatan, Jabatan Pediatrik, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Fatimah Abu Hussain, kegemukan atau obesiti adalah satu penyakit yang semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak pada masa kini dan seseorang kanak-kanak itu dianggap obes apabila Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI) adalah tinggi bagi umur dan jantinanya.

“Jika ibu bapa perasan setiap kanak-kanak mempunyai buku rekod kesihatan ‘baby book pink or blue’, graf berat serta tinggi boleh dilihat di ruangan belakang buku tersebut. Sekiranya berat sentiasa di bahagian atas sehingga melepasi graf teratas, bermakna anak itu mempunyai berat yang berlebihan.

“Kanak-kanak berlebihan berat terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan antaranya Diabetes Mellitus jenis dua (2), tekanan darah tinggi, masalah hati, kekurangan oksigen semasa tidur disebabkan rongga pernafasan yang tersekat ‘Obstructive sleep apnea‘ (OSA), batu karang pada pundi hempedu, kerosakan sendi, sindrom metabolik, risiko penyakit jantung, masalah haid, membesar menjadi orang dewasa yang gemuk dan kemurungan,” ujarnya semasa ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat di Kelantan FM.

DrSitiFatimahAbuHussain1

Siti Fatimah berkata, masalah kesihatan berkaitan obes boleh dikurangkan dengan mengamalkan tabiat makan yang baik dan senaman yang kerap seperti melakukan kegiatan fizikal sekurang-kurangnya satu jam sehari.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan memberi sokongan dan menunjukkan minat terhadap aktiviti anak-anak mereka selain turut menghadkan penggunaan alatan gajet iaitu tidak boleh melebihi dua jam sehari.

“Galakkan kanak-kanak makan lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari serta makan mengikut masa yang betul iaitu sarapan pagi, tengah hari dan malam di samping terapkan amalan makan bersama ahli keluarga serta elakkan makan sambil menonton televisyen,” ujarnya lagi.

Menurut Siti Fatimah, kanak-kanak memerlukan zat yang cukup untuk tumbesaran yang sempurna sementara kanak-kanak obes pula perlu menurunkan berat badan sekurang-kurangnya 0.5 – 1 kilogram sahaja dalam tempoh sebulan.

Berat badan kanak-kanak tidak perlu turun dengan banyak secara mendadak, seeloknya biar ia turun secara perlahan-lahan tetapi konsisten melainkan segelintir kanak-kanak yang obes dan ada tanda-tanda komplikasi, mereka memerlukan bantuan ubat untuk menurunkan berat badan tersebut.

Teks & Foto: Wan Salizawati Wan Ismail

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 25 Oktober 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.