USM JAGA KAMI DENGAN BAIK: REAKSI PELAJAR TERKANDAS PKP

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 April 2020 - Dalam menjaga kebajikan dan keperluan pelajar yang menginap di asrama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan penularan wabak COVID -19, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan sentiasa memastikan bekalan makanan yang disalurkan kepada para pelajar adalah mencukupi.

Hal ini selaras dengan peruntukan RM12.2 juta yang diluluskan oleh kerajaan kepada 74,530 pelajar universiti yang terkandas di asrama termasuk universiti awam dan swasta, kolej matrikulasi, kolej komuniti serta institut pendidikan guru di seluruh negara.

IMG 20200415 091755

Menurut pelajar tahun tiga, Ijazah Sains Senaman dan Sukan, Kavitha Sivapragasam, 22, para pelajar dibekalkan dengan kupon makanan dan kupon belian untuk membeli makanan bermasak di kafeteria dan makanan kering di kedai runcit yang beroperasi dalam Kampus Kesihatan USM.

"Kupon yang diberi amat membantu meringankan beban para pelajar terutamanya golongan B40 memandangkan kebanyakan pelajar mempunyai kesukaran untuk ke mesin ATM ditambah pula mesin ATM terdekat yang dikunjungi kehabisan wang memandangkan orang ramai sibuk mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

IMG 20200415 091814

"Setiap pelajar akan diberikan kupon makanan bernilai RM100 dan kupon belian bernilai RM105 setiap minggu dan perlu menggunakannya dengan sebaik mungkin mengikut tempoh yang ditetapkan," ujarnya.

Tambah Kavitha, pada peringkat awal PKP,  situasi ini agak sukar untuk dilalui apatah lagi dengan pelbagai spekulasi yang digembar-gemburkan sehingga menimbulkan kepanikan . Namun, setelah berjaya mengharungi minggu pertama PKP, para pelajar mula dapat menyesuaikan diri.

"Ibu bapa kami semua tidak perlu bimbang tentang keperluan asas anak-anak mereka kerana universiti sentiasa memastikan kebajikan kami terjaga.

IMG 20200415 091826

"Pensyarah-pensyarah juga turut mengambil berat tentang kebajikan pelajar dan sering bertanya khabar selain turut menawarkan diri untuk membantu membeli keperluan di pasaraya luar dan menghantarnya tanpa mengenakan sebarang caj," jelasnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Nur Afifah Nabilah Abu Bakar, 24 pula menjelaskan, sehingga kini bekalan makanan yang disalurkan kepada mereka sangat memuaskan, malahan ia boleh dikatakan sebagai berlebihan.

"Walaupun bantuan kupon makanan dan belian diberikan kepada setiap pelajar, penggunaan kupon tersebut haruslah dengan cara yang betul dan berhemah serta tidak melakukan pembaziran.

"Tiada sebarang paksaan untuk menghabiskan nilai kupon yang diberi. Oleh itu, para pelajar haruslah menggunakan kupon tersebut membeli barang yang diperlukan sahaja," katanya.

Jelas Nur Afifah lagi, tanggapan sesetengah pihak berhubung pelajar USM dibekalkan makanan tidak mengikut keperluan dan tidak sempurna seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar sama sekali.

"Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Pengurusan USM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas bantuan yang dihulurkan kerana makanan yang diberi sangat bersih dari segi penyediaanya, menu sihat dan seimbang kerana terdapat sumber karbohidrat, protien dan sayuran dalam setiap hidangan yang dibekalkan kepada kami.

"Walaupun berjauhan dengan ibu bapa, pihak Pengurusan USM sangat prihatin dan cakna terhadap keperluan kami dalam aspek pemakanan selain sentiasa menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan terhadap semua pelajar dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 yang kian menular kini," ujarnya lagi.

Penggawa Desasiswa Murni Nurani, Noor Hayati Mohamad turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada KPT, USM dan Pengurusan Kampus Kesihatan yang sentiasa mengambil berat tentang keperluan penghuni asrama. #KitaJagaKita.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Contact Us

Media and Public Relations Centre 
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Phone. : +609-7673000
Fax : +609-7671060

Government Links

 
 

Disclaimer

Universiti Sains Malaysia shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.

Security & Privacy Policy

  • Last Update:03 December 2020.

© 2018 Media and Public Relations Centre. Universiti Sains Malaysia, Health Campus. All rights reserved.