AQLS DORONG MUHAMMAD IRFAN TAMBAH KEMAHIRAN MENYELAMAT MANGSA DALAM AIR

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Mei 2020 – Aquatic Life Support (AqLS) adalah kursus berkaitan keselamatan dan teknik menyelamat di air yang difokuskan kepada peserta dalam kalangan Pegawai Perubatan dan staf kesihatan seperti Jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan.

Terpanggil untuk memiliki kemahiran tersebut, Muhammad Irfan Ishak mengikuti kursus selama empat hari pada tahun 2016 dan merupakan salah seorang jururawat dalam kumpulan pertama yang memiliki sijil AqLS selain turut terpilih sebagai jurulatih kursus AqLS untuk membimbing staf kesihatan yang lain memiliki kemahiran yang sama.

IMG 20200514 173510

Menurut jururawat lelaki berusia 28 tahun dan berasal dari Kampung Teratak Pulai, Jelawat Bachok ini, kursus AqLS diwujudkan selepas negeri Kelantan dilanda banjir besar pada tahun 2014 setelah mendapati kebanyakan petugas kesihatan kurang kesedaran dan kemahiran mengenai keselamatan dalam air serta tidak mahir dalam pencegahan kelemasan dan teknik menyelamat.

“Kursus AqLS yang diadakan setiap tahun bermula tahun 2016 merupakan inisiatif Pakar Perubatan Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab dan dibantu oleh beberapa orang pemeriksa dari Life Savings Society Malaysia (LSSM).

“Kursus ini lebih tertumpu kepada cara-cara menyelamat mangsa di dalam air yang merupakan risiko tinggi kepada penyelamat dan mangsa malah berkemungkinan boleh menyebabkan nyawa terkorban jika tidak mengetahui teknik yang betul,” ujarnya semasa ditemubual.

IMG 20200514 173522

Irfan yang bertugas di Jabatan Trauma dan Kecemasan, Hospital USM berkata, petugas kesihatan yang ingin memiliki sijil AqLS perlu menamatkan kursus sebagaimana silibus yang ditetapkan.

“Bagi mereka yang mahu menjadi jurulatih pula, mereka perlu mempunyai sijil penyelamat iaitu sekurang-kurangnya sijil ‘Bronze Medallion’ yang dikeluarkan oleh LSSM.

“Kursus AqLS juga turut disertai oleh petugas kesihatan di seluruh Negara dan luar negara kerana kursus ini amat jarang sekali dianjurkan di Universiti Awam atau swasta dan juga hospital-hospital,” jelasnya lagi.

IMG 20200514 173538

Tambah pemilik Diploma Kejururawatan dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM ini, sehingga kini seramai 16 orang staf USM memiliki sijil AqLS tidak termasuk Pegawai Perubatan yang telah tamat pengajian dan ahli jawatankuasa penganjur kursus dari kalangan staf USM sendiri.

“Sebagai jurulatih, saya turut diberi peluang untuk menganjur program, mengendalikan kajian dan penulisan akademik mengenai keselamatan dalam air dan pencegahan kelemasan malah turut mendapat jemputan sebagai pengajar semasa kursus,” katanya.

Mengulas mengenai Sambutan Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada tanggal 12 Mei setiap tahun, Irfan berkata, kerjaya sebagai seorang jururawat memerlukan kekuatan fizikal dan mental terutama ketika menguruskan pesakit.

IMG 20200514 173550

“Walaupun jururawat lelaki masih dianggap ‘minoriti’, saya tetap berbangga dengan pakaian seragam yang dipakai kerana dapat menabur bakti kepada pesakit selain  mengingatkan mereka supaya banyak bersabar, menjaga solat serta hubungan dengan ALLAH walaupun ketika sakit.

“Persepsi masyarakat yang beranggapan profesyen jururawat hanya sinonim dengan kaum wanita sahaja mungkin boleh ditepis apabila ramai golongan lelaki yang kini mula meminati kerjaya ini,” jelasnya.

 

Teks & Foto : Muhd Zulkifli Zakaria

doctor di radio

infomedic usmkk

Contact Us

Media and Public Relations Centre 
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Phone. : +609-7673000
Fax : +609-7671060

Government Links

 
 

Disclaimer

Universiti Sains Malaysia shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.

Security & Privacy Policy

  • Last Update:11 August 2020.

© 2018 Media and Public Relations Centre. Universiti Sains Malaysia, Health Campus. All rights reserved.