PENELITIAN PAKAR DAN AGENSI REGULATORI PASTIKAN VAKSIN COVID-19 SELAMAT


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Februari 2021 – Vaksin COVID-19 amat penting dalam mengurangkan kadar kematian terutama dalam kalangan barisan hadapan, warga emas dan kumpulan yang berisiko tinggi.

SAVE 20210209 123904

Menurut Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Pakar Imunologi Molekul dan Vaksinologi, Profesor Dr. Norazmi Mohd Nor, vaksin yang akan diberi kepada rakyat adalah vaksin yang terbukti efektif dan telah menjalani penelitian rapi oleh para saintis serta agensi regulatori negara yang ingin menggunakan vaksin tersebut seperti Agensi Regulatori Famaseutikal Kebangsaan (NPRA) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin keselamatan penggunaannya.

“Sebelum diluluskan untuk digunakan, vaksin tersebut perlu melalui pelbagai peringkat pembangunan vaksin termasuklah peringkat awal pra-klinikal untuk mengenalpasti bagaimana virus SAR-CoV2 yang menyebabkan COVID-19 bertindak menjangkiti sel kita, kajian bagaimana sistem imun badan melindungi kita daripada virus tersebut, reka bentuk vaksin serta ujian pra-klinikal Good Laboratory Practice (GLP) dan penghasilan vaksin mengikut piawaian Good Manufacturing Practice (GMP) juga perlu dijalankan.

“Seterusnya, vaksin tersebut perlu melalui peringkat kajian klinikal fasa I, fasa II, fasa III, yang tujuan utamanya adalah untuk memastikan keberkesanan, keselamatan dan ketiadaan kesan sampingan yang teruk apabila digunakan pada manusia. Kesemua kajian fasa klinikal akan dipantau dan dinilai oleh NPRA sebelum vaksin tersebut diluluskan untuk digunakan pada masyarakat dan pemantauan oleh NPRA akan terus dijalankan melalui pemantauan klinikal fasa IV,” katanya semasa menyampaikan taklimat dalam sesi Townhall: Perkembangan Semasa Vaksin COVID-19, di sini hari ini.

SAVE 20210209 123929

Tambah Norazmi, setiap keputusan daripada kajian klinikal fasa I, II dan III akan diteliti oleh komuniti saintifik melalui penerbitan hasil dapatan di jurnal saintifik dan akan dibentangkan pula kepada agensi regulatori setiap negara yang bercadang untuk menggunakan vaksin tersebut.

Menurut beliau, semua vaksin COVID-19 bertindak untuk melindungi kita daripada mendapat penyakit COVID-19 yang teruk.

“Terdapat pelbagai jenis vaksin yang dihasilkan untuk COVID-19 contohnya virus SARS- CoV2 yang telah dinyahaktif, vektor virus tidak berbahaya yang membawa gen tertentu SARS-CoV2, protein subunit dan asid nukleik yang mengkodkan protein yang digunakan virus untuk memasuki sel kita. Apa yang kita inginkan ialah vaksin COVID-19 ini perlu merangsang sistem imun serupa dengan jangkitan sebenar agar boleh mencegah daripada penyakit COVID-19.

“Malaysia telah memilih beberapa jenis vaksin termasuk daripada Syarikat Pfizer untuk membekalkan vaksin yang dijangka akan mula tiba di negara kita pada bulan ini. Vaksin ini telah menunjukkan 100% efektif melindungi kematian, kes teruk dan rawatan hospital serta 95% untuk mencegah penyakit yang ringan”, katanya.

SAVE 20210209 123920

Norazmi juga menegaskan bahawa masih banyak lagi pengetahuan tentang virus SARS-CoV2 yang perlu dikaji.

“Oleh itu, adalah penting bagi mereka yang menerima vaksin COVID-19 untuk terus mengamalkan SOP ketat kerana kita mungkin terlindung daripada mendapat penyakit COVID-19 tetapi ada kemungkinan masih boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

“Bagi mereka yang telah menerima vaksin, jangan ambil mudah dan terus patuhi SOP yang kita amalkan sekarang sehingga pandemik ini dapat ditamatkan kelak,” ulasnya lanjut.

Untuk rekod, sehingga 7 Februari 2021, seramai 124 juta rakyat seluruh dunia telah menerima vaksin COVID-19.

Norazmi berkongsi maklumat tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi ‘FB Hospital USM Network’ dan ‘Youtube USM Kesihatan’ yang mendapat 3,830 tontonan terdiri daripada warga kampus dan luar kampus.

Sesi pengucapan awam (townhall) itu turut disertai oleh empat panel lain termasuk Pengarah Kampus yang juga Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Pengarah Eksekutif Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed; Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan yang juga Ahli Panel Penasihat Syariah, Hospital USM, Dr. Mujahid Bakar.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

doctor di radio

infomedic usmkk

 

icon hebahanemail

SIPC

Contact Us

Media and Public Relations Centre 
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Phone. : +609-7673000
Fax : +609-7671060

Government Links

 
 

Disclaimer

Universiti Sains Malaysia shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.

Security & Privacy Policy

  • Last Update:14 April 2021.

© 2018 Media and Public Relations Centre. Universiti Sains Malaysia, Health Campus. All rights reserved.