HEALTH CAMPUS OFFICIAL WEBSITE  |  We Lead

A- A A+
Log in

Login to your account

Username *
Password *
Remember Me

KEMURUNGAN DALAM DIRI KANAK-KANAK

Dr Radio

KOTA BHARU, KELANTAN, 12 September 2017- Kemurungan bukan hanya berlaku pada orang dewasa malah turut dirasai oleh kanak-kanak. Kemurungan boleh dianggap sebagai masalah kesihatan atau ia mungkin disebabkan oleh gangguan emosi seperti kebimbangan atau tekanan.

Rasa sedih, tiada semangat atau tiada tenaga untuk membuat apa-apa adalah salah satu perasaan yang biasa dialami oleh semua individu dalam satu-satu masa. Namun, perasaan tersebut boleh menjadi masalah berpanjangan, tiada berkesudahan atau menjadi semakin teruk jika terus dibiarkan dari hari ke sehari. Pakar Psikologi Klinikal, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Azizah Othman berkata, kesedihan atau kemurungan dialami oleh pelbagai peringkat usia, kanak-kanak, remaja, dewasa dan juga warga emas di Malaysia.

“Tanda - tanda gejala kemurungan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak dan golongan remaja adalah sedikit berbeza dengan golongan dewasa serta kebiasaannya ibu bapa dan doktor gagal atau terlepas pandang  tanda-tanda kemurungan yang ditunjukkan oleh anak-anak melalui perubahan tingkahlaku, kerap mengadu sakit, mudah kecewa, tidak boleh bertolak ansur, kerap bergaduh, kurang selera makan, mudah takut dan panik,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Doktor Di Radio, di sini.

Menurut Azizah, terdapat pelbagai faktor yang boleh membawa kepada kemurungan antaranya ialah masalah kewangan, pengangguran, tekanan dan masalah keluarga termasuk perceraian. 

“Selain itu, faktor kesihatan, sejarah kesihatan keluarga, persekitaran dan penyalahgunaan bahan terlarang juga boleh memberi kesan besar kepada kesihatan mental kanak-kanak dan remaja.

“Bagi menangani masalah ini, ibu bapa harus meluangkan lebih banyak masa untuk menyelami isi hati dan perasaan anak-anak atau memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam sehari berbual dengan anak-anak bagi tujuan tersebut,” jelasnya lagi.
Azizah berkata, komunikasi yang kurang antara ibu bapa dan anak-anak menyebabkan mereka kurang percaya ibu bapa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi.

“Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak supaya menghormati rakan-rakan dalam pergaulan seharian kerana kanak-kanak yang mempunyai kekurangan atau kemampuan berbeza sering menjadi mangsa diskriminasi daripada rakan sebaya.
“Ibu bapa hendaklah segera merujuk anak mereka di mana-mana hospital berhampiran sekiranya mendapati anak mereka memerlukan penilaian atau rawatan terperinci melalui kaunselor, ahli psikologi atau doktor pakar,” ujarnya. 

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel & Roslida Mohamed

Foto: Roslida Mohamed

Contact Us

Media and Public Relations Centre
Universiti Sains Malaysia,
Health Campus
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Phone : +609-7673000
Faxs : +609-7671060

Email: mprckk@usm.my

Government Links

 
 

Disclaimer

Universiti Sains Malaysia, Health Campus shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.

Security & Privacy Policy

  • Last Update: 21 September 2017.