HEALTH CAMPUS OFFICIAL WEBSITE  |  We Lead

A- A A+
Log in

Login to your account

Username *
Password *
Remember Me

KEJOHANAN WUSHU ANTARA UNIVERSITI 2017 TARIK LEBIH RAMAI PESERTA

wushu1

USM KUBANG KERIAN, 25 November 2017 - Seramai 110 orang peserta berkampung di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menyertai Kejohanan Wushu Antara Institusi Pengajian Tinggi kali ke-5 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Kejohanan tersebut bukan sahaja disertai oleh universiti awam seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malahan universiti swasta turut menghantar wakil seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR) Kampus Sungai Long, Methodist College Kuala Lumpur (MCKL), dan Multimedia University (MMU). Tidak ketinggalan tuan rumah USM yang menghantar penyertaan daripada dua kampus iaitu Kampus Induk dan Kampus Kesihatan.

wushu

Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr Shaiful Bahari Ismail telah merasmikan kejohanan tersebut di Dewan Utama, USM.

Beliau yang mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM berkata, jumlah penyertaan kali ini lebih ramai berbanding tahun sebelumnya menunjukkan kejohanan ini semakin mendapat perhatian daripada universiti-universiti luar.

"Kejohanan ini membuka peluang memperkenalkan seni wushu kepada masyarakat kerana wushu bukanlah seni mempertahankan diri semata-mata malahan ianya mempunyai keunikan tersendiri.

"Saya amat berbangga dengan mahasiswa dan mahasiswi di Kampus Kesihatan ini khususnya kerana dalam kesibukan belajar, mereka turut aktif dalam bidang kokurikulum dan diharapkan aktiviti seperti ini akan diteruskan bagi menjana kreativiti serta bakat dalam pelbagai bidang supaya dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam mencapai hasrat mentransformasikan pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok," ujar beliau.

wushu2

Sebanyak 13 kategori dipertandingkan pada kejohanan kali ini iaitu 'Broadsword, Chang Quan, Southern Broadsword, Southern Fist, Southern Staff, Spear, Style Taichi Fist, Style Taichi Sword, Sword, Traditional Fist, Traditional Taichi Fist, Traditional Long Weapon dan Traditional Short Weapon'.

Turut hadir semasa majlis perasmian adalah Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr Adam Husein, Penasihat Kelab Wushu USM Kampus Kesihatan, Hussin Hj. Mohd Dris serta para penaja kejohanan.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

Contact Us

Media and Public Relations Centre
Universiti Sains Malaysia,
Health Campus
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Phone : +609-7673000
Faxs : +609-7671060

Email: mprckk@usm.my

Government Links

 
 

Disclaimer

Universiti Sains Malaysia, Health Campus shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.

Security & Privacy Policy

  • Last Update: 10 December 2017.