HEALTH CAMPUS OFFICIAL WEBSITE  |  We Lead

A- A A+
Log in

Login to your account

Username *
Password *
Remember Me

DERMA ORGAN BERI HARAPAN BAHARU KEPADA PESAKIT

USM, KUBANG KERIAN, 27 November 2017 – Sempena Kempen Pendermaan Organ, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah mengadakan Taklimat dan Kempen Kesedaran Pendermaan Organ di Hospital USM.

Taklimat ini memberi kesedaran tentang pendermaan organ dan secara tidak langsung mengajak masyarakat untuk mengekalkan tahap kesihatan serta mengamalkan cara hidup sihat, malah mengurangkan risiko menjadi pesakit yang kegagalan organ di samping mengurangkan subsidi pembiayaan rawatan pesakit apabila jumlah pesakit dapat dikurangkan.

1organ1

Pakar Anestesiologi Hospital Raja Perempuan Zainab II merangkap Pengerusi 'Tissue and Organ Procurement' (TOP TEAM) Kelantan, Dr. Azhar Mohamed dalam taklimatnya berkata, walaupun terdapat peningkatan  jumlah pengikrar dari tahun ke tahun, namun bilangan pengikrar penderma organ masih lagi rendah iaitu hanya seramai 397,746 orang iaitu sekitar 1.2 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi penduduk di Malaysia.

“Halangan utama dalam pendermaan organ adalah salah tanggapan berkenaan dengan derma organ, beranggapan agama melarang, jenazah melarang, jenazah akan menjadi cacat dan tidak tahu hasrat ahli keluarga jika telah meninggal dunia.

“Saya menyeru pada masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang benar berkenaan pendermaan organ ini agar tidak timbul salah tanggapan dan rasa janggal dalam membincangkan isu tersebut,” katanya.

1organ2

Tambah Azhar, pada tahun 2015, jumlah paling tinggi pendermaan organ selepas kematian berjaya dicapai iaitu 71 orang dan meningkat kepada 0.6 peratus pendermaan bagi setiap juta penduduk tetapi jumlah ini masih dikadar rendah berbanding penderma negara lain, manakala jumlah pengikrar baru mencatat jumlah paling tinggi iaitu seramai 51, 881 orang di Malaysia.

“Di Kelantan, pendermaan terakhir yang diterima adalah 11 tahun yang lepas di Hospital USM iaitu daripada pelajar tingkatan lima dan beliau telah mendermakan beberapa anggota badannya.

“Kita juga ada senarai menunggu organ di mana jika terdapat penderma dari Kelantan maka organ tersebut akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu di Kelantan tetapi jika tiada penerima dari Kelantan, organ tersebut akan ke senarai menunggu nasional,” katanya lagi.

Sementara itu, Mufti Negeri Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamad dalam taklimatnya pula berkata, pemindahan organ pada masa sekarang sudah menjadi kebiasaan pada masa kini tetapi masih ramai yang keliru dalam bab agama.

“Jika pendermaan organ lebih mendatangkan kebaikan daripada keburukan maka ia tidak menjadi kesalahan atau harus dalam bab agama tetapi bersyarat.

1organ3

“Antara syaratnya ialah diizinkan oleh penderma dan ahli keluarganya serta waras semasa membuat keputusan, diyakini berjaya semasa proses pemindahan dijalankan, tujuan hanya untuk berubat dan tidak ada unsur jual beli,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM, Dr. Nik Min Ahmad, Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Perkhidmatan Klinikal JKNK, Dr. Norhana Mohamed Fadzil.


Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

Contact Us

Media and Public Relations Centre
Universiti Sains Malaysia,
Health Campus
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Phone : +609-7673000
Faxs : +609-7671060

Email: mprckk@usm.my

Government Links

 
 

Disclaimer

Universiti Sains Malaysia, Health Campus shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site.

Security & Privacy Policy

  • Last Update: 10 December 2017.