LEPASKAN KERJAYA DEMI CITA-CITA BERGELAR DOKTOR

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 September 2019 - Demi mengejar cita-cita bergelar doktor perubatan, seorang bekas Pensyarah sebuah universiti awam, Ahmad Faris Abdul Razak, 45, sanggup melepaskan kerjayanya demi menyambung pelajaran dalam bidang perubatan.

Ahmad Faris merupakan antara 653 pelajar yang mendaftar diri bagi mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sidang akademik 2019/2020 hari ini.

Ahmad Faris Abdul Razak

Menurutnya, beliau mengambil keputusan untuk melepaskan kerjayanya sebelum ini bagi memastikan cita-cita dan impiannya untuk bergelar doktor perubatan terlaksana walaupun di usia 40-an.

"Saya memang meminati bidang perubatan sejak kecil lagi, namun sebelum ini saya tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian disebabkan fokus pada bidang yang ditawarkan selepas tamat belajar iaitu Matematik.

"Saya juga mempunyai pengalaman dalam bidang Penerbangan Awam kerana turut mempunyai ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan pernah berkhidmat dengan syarikat penerbangan Air Asia," ujarnya semasa ditemui selepas sesi pendaftaran pelajar baharu.

Tambah Ahmad Faris, walaupun terpaksa bersaing dengan golongan muda yang mampu digelar anak, ia tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan yang dijangka mengambil masa selama lima tahun.

"Saya akan menggunakan peluang yang diberi ini sebaik mungkin untuk menghabiskan pengajian mengikut masa yang ditetapkan dan berharap agar ilmu yang diperolehi, dapat saya gunakan untuk memberi perkhidmatan kepada golongan memerlukan satu hari nanti.

"Faktor usia bukan halangan untuk saya menuntut ilmu dan saya yakin yang saya mampu bersaing dengan golongan muda untuk menjadi insan berilmu dan berguna kepada masyarakat dan negara," jelasnya lagi.

Kampus Kesihatan USM menawarkan 13 program pengajian di tiga pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 25 Oktober 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.