WANITA PERLU CAKNA BAHAYA KANSER REPRODUKTIF

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Oktober 2019 - Kanser reproduktif wanita merangkumi lima jenis kanser ginekologi dan tiga darinya selalu dihidapi oleh kaum wanita adalah kanser serviks, ovari dan rahim (uterus) diikuti kanser vulva dan vagina.

Terdapat 10,939 kes kanser ginekologi yang majoriti datang mendapatkan rawatan pada peringkat akhir tahap tiga dan empat iaitu 40.3% kanser serviks, 34.1% kanser rahim dan 55.9% kanser ovari. Mengikut peningkatan umur, kadar insiden kanser berada dalam tahap maksimum pada umur 50 an serta terus meningkat pada umur 60 an dan 70an bagi semua jenis kanser ginekologi ini.

nik mohamed zaki1

Pensyarah yang juga Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nik Mohamed Zaki Nik Mahmood dalam syarahan umum yang disampaikannya berkata, berdasarkan Kajian  Globocon: The Global Cancer Observatory (2019), kadar insiden dan kematian kanser ginekologi mengikut umur untuk seluruh dunia adalah 25.5 per 100,000 wanita dan di Malaysia Globocon (2018) menganggarkan 43,837 kes baharu untuk semua jenis kanser dengan 26,395 kematian.

“Secara umumnya, faktor risiko kanser ginekologi adalah dikaitkan dengan faktor obesiti, genetik, keluarga, gaya hidup serta masalah peningkatan umur dalam kalangan wanita iaitu jangka hayat wanita yang panjang melebihi 78 tahun di Malaysia.

“Cabaran perawatan kanser ginekologi ialah kekurangan simptom-simptom peringkat awal yang menyebabkan kelewatan untuk mengesan penyakit tersebut serta peningkatan kadar rekurens (recurret rate)  sehingga sekitar 40 hingga 85% pada pesakit, walaupun menunjuk respon pada peringkat awal rawatan susulan selepas pembedahan,” jelasnya.

nik mohamed zaki2

Tambah Nik Mohamed Zaki, sejak kebelakangan ini pelbagai usaha dilakukan untuk perawatan mengikut ciri keperibadian individu dan perubatan tepat (“precision” or “personalized medicine”) dalam bidang onkologi. Dengan dilema masalah rekurens yang sangat tinggi, cara teknik perawatan kemoterapi ini mengubah keadaan rawatan mengikut ciri genetik setiap individu dan juga profil molekul jenis tisu kanser pesakit.

“Walaupun terdapat penambahan respon dalam rawatan, terapi sasaran molekul ini lebih cenderung memberi kesan sampingan toksiksiti yang tinggi akibat dari kombinasi ubat-ubat kemoterapi sehingga lebih 40% pesakit terpaksa berhenti dari rawatan.

“Dalam kalangan kanser ginekologi, hanya kanser serviks mempunyai ujian penyaringan yang mana dapat menemui kanser pada peringkat awal atau pre kanser dan rawatan dapat diberi dengan lebih efektif,” ujarnya lagi.

nik mohamed zaki4

Nik Mohamed Zaki berkata, di Malaysia, ujian saringan yang dijalankan dalam kalangan wanita adalah sangat rendah iaitu hanya pada kadar 26 hingga 40% sahaja dalam tempoh 20 tahun ini walaupun inisiatif program penyaringan telah bermula sejak tahun 1969 untuk pengesanan awal kanser serviks pada kumpulan sasaran berumur 20 hingga 65 tahun.

Beliau turut menyarankan agar semua kakitangan penjagaan kesihatan menggalas tanggungjawab memberi maklumat tepat dan kesedaran dalam semua isu berkaitan dengan pencegahan kanser.

“Program kesihatan perlu ada penambahbaikan untuk semua wanita dan pesakit kerana tiada cara mudah serta tepat untuk penyaringan kanser ginekologi selain daripada kanser serviks.

nik mohamed zaki6

“Kita semua perlu meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang tanda-tanda awal kanser serta tatacara bagaimana untuk mengurangkan risikonya kerana ia merupakan tanggungjawab bersama selain digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat dan berat badan yang baik (BMI antara 18.5 dan 24.9) perlu ditekankan dan diamalkan bagi mengurangkan masalah obesiti,” katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Unit Fotografi UKAST

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 25 Oktober 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.