KLINIK BERGERAK BAKAL BERI MANFAAT KEPADA OKU DAN WARGA EMAS

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Oktober 2019 - Klinik bergerak yang dilengkapi peralatan perawatan dengan kos 2.2 juta secara rasminya hari ini diserahkan kepada Universiti Sains Malaysia (USM) oleh Dato' Dr Mahmood Osman Merican selaku penyumbang utama dana.

Berucap semasa merasmikan Program Libatsama Komuniti USM-Merican, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail berkata, USM amat berbesar hati menerima sumbangan daripada Dato' Dr Mahmood Osman Merican dan keluarga sebagai peneraju kepada aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh USM.

"Hari ini kita dapat melihat dua buah bas yang telah diubahsuai menjadi klinik bergerak dilengkapi peralatan untuk rawatan mata, hidung dan telinga serta rehabilitasi bagi kemudahan mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di hospital terutamanya di kawasan pedalaman.

"USM mempunyai ramai pakar dalam pelbagai bidang dan ini adalah satu platform yang sangat baik kerana ianya bakal memberi impak yang besar kepada masyarakat di negeri Kelantan," ujarnya.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr Shaiful Bahari Ismail berkata, USM sentiasa menjalankan program-program kemasyarakatan melalui pelbagai jabatan dari Kampus Kesihatan.

"Kita sentiasa turun padang dan memberi khidmat perawatan di lapangan kepada masyarakat melalui program-program yang dilaksanakan contohnya oleh Unit Komuniti Psikiatri, Pemeriksaan Mata Jabatan Oftalmologi, Jabatan Perubatan Masyarakat dan Keluarga, Kluster Orang Kurang Upaya (OKU) dan Celebral Palsy oleh Nexus, Sains Senaman dan Sukan, Perkhidmatan Pergigian Bergerak, Ujian Saringan Pendengaran serta tidak ketinggalan lawatan ke rumah pesakit oleh Unit Pemulihan Perubatan.

"Dengan adanya klinik bergerak ini, kita dapat menyantuni pesakit, meningkatkan penjagaan kesihatan dan memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menerima penjagaan khas daripada pakar-pakar khususnya golongan tua dan mereka yang berkeperluan khas", jelasnya.

Tambah Shaiful, di bawah Program Libatsama Komuniti USM-Merican ini, USM akan turut bekerjasama dengan hospital dan klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan aktiviti di kawasan-kawasan yang dipilih mengikut keperluan penduduk.

Dato' Dr Mahmood Osman Merican merupakan seorang Pakar Ortopedik yang memulakan kerjaya beliau di Jabatan Ortopedik, Hospital Besar Kuala Lumpur pada tahun 1963.

Walaupun telah bersara, beliau tetap aktif dalam kerja-kerja amal. Beliau antara pengasas Persatuan Pemulihan Orang Cacat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Yayasan Ortopedik di Universiti Malaya dan Yayasan Kolej Sultan Ismail yang memfokuskan kepada meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa inggeris di sekolah lama beliau itu.

 

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 25 Oktober 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.