KANAK-KANAK DAN PENDERAAN: HAK YANG PERLU DIJAGA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 November 2019 – Anak - anak merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai kepada setiap pasangan suami isteri dan ia merupakan amanah serta tanggungjawab kepada setiap ibu bapa dan penjaganya untuk memberi perlindungan, pendidikan dan kasih-sayang.

Bermula pada tahun 1954, telah diistiharkan hari kanak – kanak sedunia, manakala di Malaysia kita mula meraikannya pada tahun 1959, bagi mengingatkan masyarakat betapa pentingnya hak kanak – kanak dijaga dan dibela kerana ianya adalah amanah dan merupakan aset serta modal insan negara masa hadapan yang sepatutnya dididik, dibangunkan dan dilindungi.

KANAK KANAK DAN PENDERAAN

Menurut Pensyarah Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Pengerusi Raudhah Sakeenah Kelantan, Profesor Madya Dr. Zaharah Sulaiman, kanak – kanak perlu diiktiraf sebagai individu yang mempunyai pemikiran dan hak untuk hidup selamat serta gembira tanpa ada sebarang diskriminasi kerana kanak-kanak pada usia di bawah 18 tahun kebiasaannya menjadi mangsa penderaan terutama bagi keluarga yang bermasalah dan miskin.

“Penderaan kanak-kanak merujuk kepada penderaan secara fizikal dan emosi, penderaan seksual, kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak, termasuk sebarang bentuk eksploitasi atau komersial yang boleh menyebabkan kerosakan kepada kesihatan kanak-kanak dari segi ‘survival’, perkembangan atau harga diri. Ini adalah dalam konteks di mana pendera ada perhubungan tanggungjawab, kuasa atas kanak-kanak berkenaan atau pendera ialah seseorang yang dipercayai oleh kanak-kanak.

“Kes penderaan kanak-kanak ini biasanya berlaku dalam kalangan orang dikenali seperti keluarga sendiri contohnya ibu, bapa, kakak, abang, bapa atau ibu saudara, datuk, pengasuh dan sebagainya. Namun ada juga orang luar yang tak dikenali yang pandai memujuk kanak –kanak menggunakan umpan seperti memberi coklat, gula-gula dan sebagainya bagi menarik perhatian kanak-kanak”, katanya.

Tambah Zaharah, di Malaysia akta hak kepentingan kanak-kanak telah digubal pada tahun 2001 dan melalui proses penambahbaikan pada tahun 2016,  manakala tahun 2017 satu lagi akta digubal bagi menangani kesalahan berunsur seksual sebagaimana terkandung dalam konvensyen hak kanak – kanak1955.

"Kategori kanak-kanak adalah di bawah umur 18 tahun yang mana ianya perlu kepada bimbingan dan tunjuk ajar terutamanya pada usia tujuh tahun ke bawah, mereka belum mengerti apa-apa, memerlukan kasih sayang, bermain bersama, bergurau dan sebagainya, tidak sepatutnya didera seperti dirotan, ditampar, dipijak, ditendang dan seumpamanya sehingga mendatangkan kesan fizikal, emosi dan mental.

"Pada peringkat umur tujuh tahun ke atas kita bolehlah mula mengajar, membimbing, mendisiplinkan mereka supaya mengikut peraturan dan pada usia 12 tahun ke atas, hukuman ringan sebagai pengajaran boleh dikenakan jika peraturan tidak dituruti tetapi tidak sampai mencederakan atau meninggalkan kesan pada anggota badan", jelasnya lagi.

Zaharah turut mengingatkan orang ramai khususnya ibu bapa,  menggunakakan psikologi lebih berkesan dalam mengajar, mendidik dan membentuk keperibadian kanak-kanak kerana penderaan berterusan terhadap kanak-kanak boleh menyebabkan mereka mengalami kemurungan dan ketakutan sehinggakan ada yang cuba membunuh diri.

Teks / Foto : Abdul Aziz Latif

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 25 Oktober 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.