KENALI JANGKITAN VIRUS INFLUENZA DAN CARA MENANGANI PENULARANNYA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Februari 2020 – Influenza merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti saluran pernafasan dan boleh menyebabkan gejala jangkitan ringan atau serius serta dalam keadaan tertentu ianya boleh mengancam nyawa individu yang dijangkiti.

DrAlwiBesari

Menurut Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Alwi Muhd Besari @ Hashim, antara penyebab jangkitan virus ini adalah melalui titisan daripada saluran penafasan apabila bercakap, batuk atau bersin oleh pembawa wabak.

“Antara tanda - tanda dijangkiti influenza ialah batuk, selsema, demam secara tiba - tiba, sakit tekak, sakit kepala, sakit urat sendi badan, lenguh lumpuh, sukar bernafas dan berair hidung.

"Secara amnya, terdapat rawatan yang berkesan bagi merawat jangkitan ini, biasanya individu yang mempunyai daya tahan penyakit yang kuat boleh bertahan dan dapat pulih dalam masa seminggu, namun sekiranya ianya melarat pemeriksaan lanjut perlu dilakukan bagi memastikan ianya tidak menular kepada orang lain," ujarnya semasa menyampaikan taklimat dalam Sesi Pendengaran Awam (townhall) yang berlangsung di Auditorium Blok Pendabiran Hospital USM, di sini.

DrAlwiBesari2

Jelas Alwi, antara individu yang berisiko dan mudah dijangkiti penularan virus ini adalah ibu mengandung, individu yang obesiti, penghidap asma, paru – paru kronik, penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung, kanak – kanak serta warga emas.

“Mereka yang berisiko dan dikenal pasti penghidap influenza perlu mendapatkan antiviral dan vaksinasi bagi kanak – kanak berumur enam tahun ke atas,” ujarnya lagi.

DrSitiSuraya

Sementara itu, Ketua Unit Kawalan Jangkitan Dan Epidemiologi Hospital USM, Profesor Madya Dr Siti Suraiya Md Noor pula menyeru orang ramai mengambil berat tentang penjagaan kebersihan seperti sentiasa memakai penutup hidung dan mulut (mask) dan melakukan pencucian tangan yang sempurna.

“Adab ketika batuk dan bersin hendaklah dijaga supaya penularan penyakit tidak berlaku, penutup hidung dan mulut yang telah digunakan terutamanya ketika merawat pesakit perlu dibuang ke dalam tong sampah yang tertutup.

“Selain itu, ‘surgical mask’ juga perlu ditukar setelah empat jam digunakan supaya kuman atau virus yang terlekat tidak merebak kepada pemakainya dan individu yang berhampiran kerana 40% risiko jangkitan mungkin berlaku sekiranya terus memakai ‘surgical mask’ yang sama,” katanya.

Tambah Siti Suraiya, langkah penjagaan supaya penyakit - penyakit berjangkit seperti influenza H1N1, SARS, MERS –CoV, Coronavirus atau kini dikenali Covid – 19 dan seumpamanya mempunyai langkah pencegahan penularan yang sama iaitu penjagaan kebersihan tangan dan pemakaian ‘surgical mask’ ( PPE ).

Teks: Abdul Aziz Latif / Foto: Unit Fotografi UKAST

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 25 Oktober 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.