PENYAKIT TULANG RAPUH BOLEH JEJASKAN KEHIDUPAN SEHARIAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Februari 2020 – Penyakit tulang rapuh adalah gangguan daripada mutasi genetik ataupun bawaan keturunan yang memperlihatkan binaan asas tulang di dalam badan pesakit adalah tidak normal yang boleh dikesan seawal kelahiran.

4

Menurut Pakar Bedah Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Abdul Razak Sulaiman, mereka yang menghidap penyakit ini kebiasaannya mempunyai bola mata berwarna kebiruan, gigi yang kekuningan, bersinar dan bersaiz kecil manakala susuk tubuh mereka pula adalah rendah.

“Kekerapan penyakit ini berlaku adalah pada kadar satu (1) bagi setiap 20,000 kelahiran dan terdapat juga kajian yang mengatakan bahawa setiap pesakit yang mempunyai masalah ini akan mengalami purata untuk tulangnya patah sekerap 1.5 kali setahun sebelum mereka meningkat dewasa.

“Jika tidak dirawat bagi kepatahan tulang yang berlaku, tulang tersebut akan sembuh namun berada pada keadaan yang bengkok dan hal ini dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian seperti risiko untuk mempunyai otot yang lemah serta gangguan kepada pemanjangan tulang”, ujar beliau ketika menyampaikan syarahan bertajuk “Tulang Rapuh Sejak Lahir: Antara Sains, Sosial dan Ekonomi” dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM.

PRFRAZAK

Tambah Abdul Razak, sehingga kini tiada rawatan untuk menyembuhkan sepenuhnya penyakit tulang rapuh (osteogenesis imperfect) dan ubat ‘pamidronate’ biasanya digunakan untuk mengubah kadar pengumpulan kalsium dalam tulang bagi membantu menguatkan tulang pesakit.

“Rawatan pembedahan bagi memasukkan besi teras ‘Rush Rod’ diperlukan untuk merawat tulang yang patah supaya tulang dipegang pada kedudukan paksi yang betul, membolehkan fungsi otot yang optimum dan dapat bergerak dengan secepat mungkin bagi mengelakkan tulang menjadi semakin rapuh.

“Pembedahan ini juga dilakukan untuk membetulkan tulang yang bengkok, mengelakkan kepatahan yang kerap dan memastikan pemanjangan tulang bersama otot dan saraf berlaku dengan seimbang”, jelasnya lagi.

Abdul Razak yang juga Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas, PPSP USM turut menegaskan bahawa kanak-kanak yang mempunyai tulang rapuh memerlukan sokongan padu ahli keluarga dan rawatan yang tepat untuk mendapatkan tahap fizikal, mental dan psikologi kerana setiap individu yang dilahirkan mempunyai keistimewaan dan keperluan tersendiri.

Di akhir syarahan beliau, Abdul Razak berkata, kanak-kanak yang menghidap penyakit tulang rapuh ini mempunyai keupayaan pemikiran yang normal seperti kanak-kanak lain jika diberi kemudahan pembelajaran yang bersesuaian serta mampu maju dan cemerlang dalam kehidupannya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel & Raziatul Ain Zamri (Pelajar Praktikal USM) / Foto: Anis Azniriza Zainol

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 25 Oktober 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.