PERKASAKAN ILMU: SDH PLATFORM TERBAIK PESAKIT TERUSKAN PEMBELAJARAN

USM, KUBANG KERIAN, 2 Mac 2020 – Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) yang mula beroperasi pada 18 September 2012 banyak memberi manfaat pendidikan kepada pesakit kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan berpanjangan di hospital bagi mengelak mereka tercicir dalam pelajaran.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim berkata,  SDH Hospital USM merupakan SDH keempat dibuka di Malaysia bertujuan memastikan pelajar yang menerima rawatan di hospital tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka.

kpm

“Pembelajaran di SDH Hospital USM berorientasikan didik hibur dan fleksibel dalam suasana persekitaran yang kondusif justeru pendekatan ini secara tidak langsung merupakan satu terapi yang dapat membantu proses penyembuhan pelajar yang berada di hospital.

“Pihak pengurusan Hospital USM amat berbangga mendapat kakitangan akademik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang cukup komited dan memberi komitmen yang penuh dalam melaksanakan tugas sehingga kami tidak merasakan mereka adalah orang luar, malah merasakan seperti satu keluarga iaitu warga USM Kampus Kesihatan,” ujarnya dalam taklimat Lawatan Kerja Bahagian Pengurusan  Sekolah Harian ke SDH, Hospital USM hari ini.

Tambah Sukari, SDH Hospital USM merupakan inisiatif bersama antara KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Universiti dan Yayasan Nurul Yaqeen demi keperluan pendidikan kepada murid yang berada di wad dan mempunyai kesediaan untuk belajar.

kpm1

“Selain itu, SDH Hospital USM juga memberi peluang kepada peneman pesakit (pelajar yang tidak hadir ke sekolah disebabkan meneman ibu, bapa atau adik- beradik yang sakit dan tiada penjaga lain di rumah) mengikuti sistem pembelajaran dan berdaftar sebagai pelajar SDH Hospital USM.

“Antara kejayaan para pendidik SDH di sini ialah melahirkan seorang pelajar yang memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun pelajar tersebut dirawat di Hospital USM dalam tempoh yang lama,” katanya lagi.

Selain daripada itu, tenaga pengajar SDH yang diketuai oleh Teo Seng Hue pula memaklumkan bahawa guru-guru SDH Hospital USM telah berjaya membangunkan pelbagai aplikasi bagi memudahkan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan pelajar-pelajar di SDH. 

kpm2

"Antara aplikasi yang dibangunkan adalah Blog SDH pada tahun 2016, Laporan Pembelajaran Individu tahun 2017, Pendaftaran murid tahun 2018 dan Rujukan Murid di Wad yang dibangunkan pada Januari 2020 dan mula digunakan di semua wad kanak-kanak Hospital USM bermula Februari 2020.

“Kami mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada jururawat mahupun pembantu perawatan klinikal yang bertanggungjawab menguruskan pendaftaran pesakit di SDH, kerana sebelum ini, mereka perlu datang ke SDH dan mengisi borang secara manual tetapi sejak aplikasi tersebut dibangunkan, mereka hanya perlu mengisi melalui borang yang disediakan di atas talian sahaja", katanya.

Jelas Seng Hue, guru-guru juga tidak perlu risau untuk mengisi laporan-laporan yang berkaitan kerana mereka boleh mengakses semua borang yang berkaitan melalui komputer riba mahupun telefon bimbit masing-masing pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja mereka berada.

kpm3

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perancangan dan Pengurusan Pendidikan Sekolah 2, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Cyril Christopher Singham pula berkata, kerjasama yang baik ini merupakan kejayaan KPM dan Hospital USM yang sentiasa memberi sokongan kepada guru-guru agar melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Saya berharap kerjasama ini berterusan dan SDH Hospital USM menjadi SDH yang paling tersusun dan proaktif serta boleh dijadikan contoh kepada SDH-SDH hospital lain”, ujarnya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

doctor di radio

infomedic usmkk

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 10 Julai 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.