PFA USM BANTU PULIHKAN EMOSI SAAT PANDEMIK COVID-19 MENULAR

Wabak Covid-19 adalah sesuatu yang tidak dijangka dan pertama kali melanda seluruh dunia hingga mengakibatkan aktiviti serta rutin harian berubah, terganggu, terhad, dan bermasalah. Hampir semua orang mengalami kesannya dari anak kecil hingga golongan tua, apatah lagi mereka yang tergolong dalam barisan hadapan khususnya doktor, jururawat, polis, tentera dan lain-lain.

Dalam menangani isu pandemik yang telah merebak ke seluruh dunia, Universiti Sains Malaysia (USM) tidak terkecuali mengambil pelbagai inisiatif membantu mengekang penularan wabak ini di Kelantan khususnya dan Malaysia amnya. Apatah lagi Kota Bharu merupakan salah sebuah bandar di mana bilangan pesakit positif Covid-19 yang agak tinggi dan dikategorikan sebagai zon merah.

IMG 20200408 115929

USM amat mengambil berat kebajikan kakitangan terutamanya barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengawal penularan Covid-19 ini tanpa mengira masa dan tenaga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia pada 18 Mac lalu dan kini telah memasuki fasa kedua bermula 1 April hingga 14 April 2020. Malah ada di antara mereka sanggup meninggalkan keluarga dan ada yang terpaksa berhenti menyusukan anak yang masih kecil.

Menurut Ketua Pasukan Bantuan Awal Psikologi (PFA) merangkap Pakar Psikologi Klinikal, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Madya Dr. Azizah Othman, apabila seseorang berdepan dengan perubahan dan masalah seperti ini, reaksi psikologi yang biasa terjadi adalah keresahan, takut, bimbang, marah, ragu-ragu, tertekan atau merasa tidak mampu untuk bertahan terutama dalam meneruskan tugas.

"Sebilangan individu boleh mengatasi kesan psikologi ini dengan yakin dan tenang, tetapi ada juga yang tidak berjaya dan memerlukan sokongan luar dan di sinilah bermulanya peranan PFA.

"Dalam tempoh krisis yang sedang melanda sekarang, sasaran utama pasukan PFA adalah tertumpu kepada pegawai perubatan, pembantu perubatan, jururawat dan lain-lain yang berisiko berdepan dengan pesakit Covid-19 dan juga yang bertugas serta berurusan dengan orang ramai secara terus di hospital bagi membendung penularan wabak ini," jelasnya.

Azizah berkata, selain itu, pesakit-pesakit yang disahkan positif Covid-19 atau PUI, pelajar-pelajar Kampus Kesihatan dan orang awam yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung turut diberi perhatian.

Dianggotai seramai 32 orang staf pelbagai bidang berkaitan antaranya Pakar Psikiatri, Pakar Psikologi Klinikal, Kaunselor,  Pegawai Psikologi Hospital, Pegawai Perubatan,  Pelajar Sarjana Psikologi Klinikal dan Pegawai Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT), PFA USM bertindak memberi bantuan psikologi dan sokongan psikososial dalam meringankan beban yang ditanggung secara atas talian bermula 1 April 2020 sehingga tamat tempoh PKP.

IMG 20200408 204131

Setiap panggilan akan dilayan oleh pegawai yang berperanan mendengar dengan empati masalah pemanggil, memberikan maklumat dan kaedah untuk meredakan tekanan dan ketegangan yang dialami waktu itu, sebelum menghubungkan pemanggil dengan perkhidmatan dan bantuan lain yang diperlukan.

Sebagai contoh, sekiranya pemanggil didapati memerlukan kaunseling tambahan, perkhidmatan ini akan ditawarkan pada peringkat seterusnya tertakluk kepada syarat dan keadaan tertentu. Pemanggil tidak perlu bimbang kerana semua maklumat yang dikongsi adalah sulit, terhad, dan diuruskan mengikut tatacara serta etika perubatan, psikologi dan kaunseling.

Penubuhan awal pasukan ini adalah pada tahun 2014 semasa Negeri Kelantan mengalami krisis bencana alam iaitu banjir besar atau lebih dikenali sebagai ‘Bah Kuning’. Bertanggungjawab dalam membantu mengurangkan tekanan awal yang dialami oleh mangsa, memberi bantuan pengurusan keperluan asas emosi dan menggalakkan pembentukan fungsi penyesuaian yang baik dalam tempoh penularan wabak Covid-19 dan sepanjang tempoh PKP.

Bagi mereka yang memerlukan khidmat nasihat serta sokongan yang ditawarkan oleh PFA, sila isi borang soalan saringan yang boleh didapati dalam laman carian ‘Google’ di alamat https://forms.gle/vqBeG9QRW6eFvuGz9 atau boleh juga menghubungi hotline PFA di talian 09-7671188 dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Justeru, USM amat mengalu-alukan sesiapa sahaja, termasuk orang awam yang terkesan secara psikologi akibat Covid-19 ini untuk mendapatkan khidmat nasihat serta sesi kaunseling yang disediakan tanpa sebarang bayaran.  Jangan biarkan emosi menguasai diri kerana ia akan menyebabkan masalah yang lebih serius. Bagi mereka yang menjalani PKP di kediaman masing-masing, pastikan anda mengekalkan rutin harian seperti biasa, mengamalkan pemakanan sihat, bersenam dan sebaiknya mengelakkan diri dari menonton, membaca mahupun mendengar berita melalui mana-mana media agar tidak menimbulkan kegusaran dan panik yang keterlaluan.

Teks:  Muhd Zulkifli Zakaria

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 25 Oktober 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.