COVI-TT INOVASI TERBAHARU LANCARKAN PROSES PEMINDAHAN PESAKIT

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 April 2020 – COVID-19 menjadi igauan ngeri seluruh dunia apatah lagi dengan angka kematian ratusan ribu menjadikan ia satu wabak yang sangat ditakuti. Di Malaysia sendiri statistik menunjukkan pertambahan kes saban hari, menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat terutama mereka yang bertanggungjawab sepenuhnya menyaring, memeriksa dan merawat pesakit COVID-19.

Dalam menghadapi wabak pandemik yang semakin berleluasa, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian malah turut memberi kesan kepada sistem ekonomi negara kerana kebanyakan premis jualan dan pembekalan peralatan tidak dibenarkan beroperasi seperti biasa.

IMG 20200412 195544

Seperti yang kita ketahui, isu kekurangan peralatan di hospital merupakan isu global di mana hampir semua negara terkesan dengan penularan wabak COVID-19 dan penggunaan peralatan perubatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE), alat bantuan pernafasan serta ‘patient isolation and transportation’ (ISOPOD) meningkat secara mendadak.

Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) tidak terkecuali menghadapi permasalahan yang sama sepertimana hospital-hospital lain di seluruh negara. Biarpun belum ditetapkan sebagai hospital untuk menempatkan pesakit COVID-19, namun kesiapsiagaan Hospital USM dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani isu COVID-19 menjadi keutamaan.

Covi-TT atau ‘Covid Transport-Tool’ merupakan satu inovasi terkini yang diinspirasikan dari ISOPOD dan dihasilkan oleh para petugas di Dewan Bedah Hospital USM.

IMG 20200412 195400

Menurut Penyelia Jururawat Dewan Bedah, Sharidah Shaari, projek inovasi ini bermula dari cadangan Ketua Jabatan Anestesiologi, Profesor Madya Dr W Mohd Nazaruddin W Hassan serta Penyelaras Dewan Bedah Profesor Madya Dr. Rhendra Hardy Mohamad Zaini.

“Covi-TT yang dihasilkan ini adalah untuk pemindahan pesakit dalam kategori ‘Patient Under Investigation’ (PUI) dan pesakit yang mempunyai gejala ‘Severe Acute Respiratory Infections’ (SARI) yang menjalani pembedahan di Dewan Bedah Trauma, dipindahkan ke wad-wad SARI, HDU dan ICU untuk proses perawatan dan pemulihan di mana penggunaan Covi-TT ini dapat mengelakkan kontaminasi rebakan kepada persekitaran disebabkan COVID-19. Covi-TT ini berfungsi dengan mengekalkan persekitaran “negative pressure” yang selamat semasa pemindahan pesakit.

IMG 20200412 195732

“Kebanyakan bahan yang digunakan untuk menghasilkan Covi-TT adalah kegunaan seharian dan murah seperti paip pvc, plastik jernih yang tebal, sarung tangan getah, pita pelekat, gam, hepafilter, vacum pum dan alat yang dikitar semula iaitu ‘valve trocar laparoscopic disc’ dan tubing circuit dengan keseluruhan kos berjumlah RM300 sahaja," jelasnya.

Sharidah berkata, walaupun alat yang dihasilkan ini ringkas jika dibandingkan dengan ISOPOD yang berharga antara RM30,000 hingga RM40,000 sebuah, Covi-TT dapat menjaga keselamatan petugas yang menguruskan pesakit PUI dan SARI di samping memastikan staf serta pelanggan Hospital USM tidak terdedah kepada persekitaran yang membahayakan mereka.

IMG 20200412 195905

"Apa yang istimewanya Covi-TT ini, rekabentuknya direka oleh mereka yang dekat dengan perawatan pesakit terdiri daripada Penyelia Jururawat, Ketua Jururawat, Pembantu Perawatan Kesihatan dan turut mendapat kerjasama dari Pegawai Khidmat Pelanggan Unit Perubatan Transfusi, Penolong Pegawai Perubatan ICU serta Bahagian Biomedik Hospital USM.

“Kami bercadang untuk menghasilkan dua (2) set Covi-TT dan alat tersebut akan diuji keberkesanannya terlebih dahulu sebelum digunakan sepenuhnya. Dengan penjimatan kos dan penggunaan bahan yang 'recycle' ini diharap dapat memberi impak yang tinggi kepada USM dan masyarakat amnya.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 25 Oktober 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.