BUKA PERNIAGAAN SENDIRI BUKTI KEJAYAAN MODUL LATIHAN TRANSFORMASI OKU USM

OKU 4

KOTA BHARU, KELANTAN, 19 Mei 2020 - Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Perumpamaan yang sesuai dengan apa yang ditunjukkan oleh salah seorang orang kurang upaya (OKU) sindrom down yang telah menjalani Latihan Pekerjaan OKU Intelek (vocational training) di bawah bimbingan Unit Transformasi OKU, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Muhammad Azlan Mad Dom, 25, dari Kampung Lubok Jambu, Kedai Mulong merupakan pelatih yang berjaya mengubah kehidupan beliau ke arah yang lebih baik sehinggakan mampu berdikari dengan berniaga.

OKU

Beliau telah membuka kiosk jualan makanan dan minuman di salah sebuah pusat perniagaan di Mulong, namun segalanya hilang sekelip mata apabila pusat perniagaan tersebut terbakar pada 1 Mei lalu dan mengakibatkan kiosk jualan beliau turut musnah.

Penyelaras Pusat Transformasi OKU, PPSK USM, Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata, seramai 70 orang pelatih telah berjaya menjalani latihan di pusat tersebut dan ada di antara mereka yang mampu mengubah nasib dan dapat menjalani kehidupan seperti orang normal yang lain.

"Selain kesungguhan pelatih itu sendiri, sokongan dari keluarga juga merupakan salah satu faktor dalam membentuk jati diri dan keupayaan pelatih.

OKU 2

"Bagi pihak USM, kami merasa bangga kerana modul latihan OKU yang diperkenalkan dapat melahirkan seorang pelatih yang bukan sahaja mampu berdiri di atas kaki sendiri malahan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan dan kebersamaan. Ini terbukti apabila ada dalam kalangan mereka yang turut sama menyumbang wang ringgit bagi membantu Azlan memulakan semua perniagaannya," katanya ketika ditemubual dalam majlis ringkas penyerahan sumbangan hari ini.

Sumbangan dalam bentuk kewangan dikumpul menerusi 'Tabung Abe Lan' yang diselaraskan oleh Pertubuhan Cakna OKU Kelantan, telah disampaikan oleh Pengerusi Pertubuhan PDK Kubang Kerian, Profesor Madya Dr Mohamed Saat Ismail.

OKU 3

Azlan dan keluarga menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada USM dan penyumbang serta berazam untuk memulakan kembali perniagaan selepas hari raya nanti.

Masyarakat juga perlu mengubah stigma dengan tidak lagi memandang rendah kepada golongan OKU dan sepatutnya mencipta suasana yang lebih positif kerana anjakan paradigma sebegini adalah pemangkin kejayaan golongan istimewa ini.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri

doctor di radio

infomedic usmkk

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 10 Julai 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.