HOSPITAL USM TERIMA SUMBANGAN UNTUK WUJUDKAN RUANG TERAPEUTIK KANAK-KANAK

Cetak

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Ogos 2020 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sumbangan sebanyak RM20,000 daripada Syarikat Grass2route Sdn Bhd dan Edotco Group Sdn Bhd dalam satu Majlis Penyampaian Replika Cek di Dewan Persidangan Kampus, Kampus Kesihatan USM hari ini.

Sumbangan tersebut bertujuan untuk mewujudkan satu ruangan terapeutik kanak-kanak di Wad 2 Selatan, Hospital USM.

SAVE 20200807 101829

Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim dalam ucapannya berkata, penyediaan ruang khusus itu adalah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran kepada kanak-kanak yang menjalani rawatan di semua wad Hospital USM.

“Kolaborasi kali ini bakal menambahbaik persekitaran wad di Hospital USM dengan mengekalkan konsep hijau dan mesra kanak-kanak di samping memberi kemudahan serta keselesaan kepada pesakit kanak-kanak yang mendapat rawatan bahkan ruangan ini juga dilengkapi dengan peralatan permainan dan buku bacaan.

“Bagi pihak Hospital USM, saya sangat bersyukur kerana hospital kami sentiasa menjadi pilihan dan menerima sumbangan dari pelbagai pihak dengan cara dan konsep yang berbeza-beza tetapi tujuannya hanya satu, iaitu demi kelangsungan perubatan dan perawatan pesakit khususnya golongan B40 dan asnaf yang sangat memerlukan,” katanya.

SAVE 20200807 101848

Tambah Sukari, kerjasama Hospital USM dengan semua penyumbang ternyata memberi banyak manfaat, bukan sahaja kepada rakyat di negeri Kelantan malahan pesakit dari luar Kelantan yang mendapatkan rawatan di sini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Grass2route Sdn Bhd, Muhammad Hezri Mahmud, Direktor merangkap Ketua Jabatan Pengurusan Korporat EdotCo Group Sdn Bhd, Jaizan Zuki, Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM, Dr. Nik Min Ahmad dan Penyelaras Unit Pembangunan Korporat Hospital USM, Profesor Dato’ Dr Abdul Rahman Izaini Ghani.

Teks : Muhd Zulkifli Zakaria /Foto : Mohd Asrar Mohd Rokeman