35 OKU TERIMA KERUSI RODA MODIFIKASI KHAS USM - RICD

Cetak

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Ogos 2020 – 35 orang kurang upaya (OKU) menerima kerusi roda yang telah dimodifikasi khusus mengikut kesesuaian dan keperluan setiap penerima melalui sumbangan Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda Universiti Sains Malaysia (USM) dan Rajanagarindra Institute of Child Development (RICD), hari ini.

Projek ini merupakan hasil Perjanjian Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara kedua-dua pihak pada tahun 2012 hasil inisiatif Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM bagi menyahut seruan kerajaan dalam usaha melengkapi hak keistimewaan OKU.

SAVE 20200826 173956

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, pada tahun ini, RICD bermurah hati menyumbang 35 buah kerusi roda dan pelbagai alat bantuan mobiliti serta alat ganti yang bernilai Baht 1,533,000 bersamaan RM203,200.84.

“Kerjasama ini adalah kerjasama dua hala melalui kaedah USM membekalkan kepakaran Terapi Carakerja (Occupational Therapy) dan kepakaran teknikal dari pasukan kerusi roda USM untuk membantu pasukan kerusi roda RICD menjalankan program modifikasi kerusi roda di Selatan Thailand.

SAVE 20200826 174005

“Selain itu, pasukan kerusi roda RICD juga sentiasa menyertai program modifikasi khas kerusi roda yang dijalankan di USM dan projek ini telah menjadi projek yang lestari hasil sokongan dan bantuan berterusan dari BJIM USM,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyerahan dan Modifikasi Khas Kerusi Roda USM-RICD 2020, di sini.

Menurut Abdul Rahman, sejak kerjasama ini dimulakan, RICD telah menyalurkan sumbangan kerusi roda dan alat bantuan kesihatan yang bernilai kira-kira RM 992,998.09 (Baht 9,541,060) kepada USM sekaligus memberi manfaat kepada lebih 511 orang penerima OKU.

IMG 20200826 175015

“Kita dapat melihat bagaimana kolaborasi antara RICD dan USM berkembang dari semasa ke semasa dan pencapaian ini amat memuaskan. Dengan adanya Pusat Khidmat Kerusi Roda di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM ini, saya berharap Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda dapat dilanjutkan dan diteruskan untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna kerusi roda dan OKU di Kelantan.

“Saya juga percaya inisiatif yang dilakukan USM dan RICD ini merupakan satu platform untuk menggabung jalin kepakaran yang ada dan menjadi penghubung kepada institusi lain untuk turut sama memberikan perkhidmatan kepada masyarakat yang inklusif,” ujar beliau lanjut.

SAVE 20200826 174016

Abdul Rahman berharap agar program sebegini membuka ruang dan peluang untuk lebih ramai pakar dalam bidang ini mengambil inisiatif yang sama memberi lebih faedah kepada masyarakat dengan menyumbangkan kepakaran kepada golongan yang tepat.

Beliau turut menjelaskan bahawa Program Modifikasi Khas Kerusi Roda 2020 dianjurkan melalui Geran Penyelidikan Translational (MRUN) dari Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM sekaligus menjalin kerjasama dengan rakan penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Turut Hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri - Komuniti mewakili Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim, Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Syed Yusof Syed Kechik, Pengarah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi, Ismail Kassan dan Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Ilvira Mohd Dasuki.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman