KECEDERAAN GIGI KANAK-KANAK USAH DIPANDANG REMEH

KOTA BHARU, KELANTAN, 6 September 2020 – Gigi merupakan salah satu anggota badan yang paling penting bagi manusia dan sekiranya gigi sakit, sukar bagi seseorang untuk makan, bercakap mahupun melakukan apa-apa aktiviti.

Kemalangan jalan raya, jatuh basikal dan bersukan adalah penyebab utama kecederaan mulut dalam kalangan kanak-kanak. Selain luka serta pendarahan pada bibir, gigi dan gusi juga sering mengalami kecederaan.

WhatsApp Image 2020 09 06 at 10.43.46 AM

Menurut Pensyarah yang juga Pakar Pergigian Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fadzlinda Baharin, antara jenis kecederaan gigi yang selalu berlaku adalah gigi longgar, retak, patah atau tercabut.

“Sekiranya kemalangan itu terjadi kepada kanak-kanak dan menyebabkan gigi kekal hadapan tercabut atau terkeluar dari lubang tulang tempat gigi tertanam (soket), gigi itu masih boleh diselamatkan dengan meletakkan semula gigi tersebut ke dalam soket dengan segera.

“Jika gigi tersebut tidak boleh diletakkan ditempat asalnya, rendamkan gigi tersebut dalam bekas bersih yang berisi susu segar atau air liur sendiri atau masukan ke dalam beg plastik bersih supaya gigi tidak kering dan segera berjumpa doktor gigi,” ujarnya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat di Kelantan FM.

da935708 8b4c 4121 b467 dded2997e2fd

Fadzlinda berkata, kanak-kanak yang mengalami kecederaan pada mulut dan gigi perlu segera dibawa ke klinik pergigian atau hospital untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut bagi menyelamatkan gigi daripada menjalani rawatan yang lebih rumit di kemudian hari.

“Gigi patah yang sensitif terhadap sejuk atau panas perlu dirawat dengan segera dan serpihan gigi perlu disimpan di dalam air bersih. Sekiranya serpihan gigi tidak dapat dijumpai atau tidak boleh dilekatkan semula, gigi tersebut boleh diperbaiki dengan bahan resin komposit yang warnanya sama dengan gigi asal.

“Gigi yang tercedera dan tidak dirawat dengan segera akan menyebabkan masalah seperti kepekaan gigi atau jangkitan serta gusi bengkak dan kesannya dapat dilihat bukan pada gigi susu sahaja tetapi juga pada gigi kekal yang terbentuk di rahang,” jelasnya lagi.

Tambah Fadzlinda, kecederaan pada gigi susu juga boleh menyebabkan gigi kekal tidak terbentuk sepenuhnya. Contohnya, gigi kekal akan menjadi bengkok dan boleh mengakibatkan gigi kekal tidak tumbuh pada usia yang sepatutnya.

“Bagi kanak-kanak yang aktif dalam sukan lasak, mereka disarankan agar memakai alat pelindung mulut untuk mengurangkan risiko kecederaan gigi semasa bersukan.

“Alat pelindung mulut biasanya diperbuat daripada getah dan disarungkan pada gigi dan ia boleh didapati di kedai sukan, farmasi atau ditempah di klinik pergigian mengikut saiz yang sesuai. Pilihlah alat perlindungan yang boleh dilentur, tahan koyak, lasak, selesa dipakai, sesuai dengan mulut dan tidak mengganggu percakapan atau pernafasan,” kata beliau.

Teks / foto : Anawiah Abdul Aziz

doctor di radio

infomedic usmkk

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 18 September 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.