REKONSTRUKSI PAYUDARA KEMBALIKAN POTENSI DIRI 'SURVIVOR' KANSER

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Oktober 2020 – Saat disahkan menghidap kanser payudara pastinya memberi tamparan hebat buat kaum wanita, apatah lagi jika terpaksa menjalani mastektomi atau pembedahan membuang payudara.

Kebanyakan wanita menyamakan kehilangan payudara seperti kehilangan nikmat menjadi ibu, seksualiti dan estetika malah menganggapnya sebagai hilang mahkota kedua kaum hawa selain turut hilang daya tarikan, kesuburan, kewanitaan serta keperibadian mereka secara menyeluruh.

d74ba3b5 d92a 45fe 870c 7589c3e85e02

Menurut Pakar Bedah Rekonstruksi dan Pembedahan Plastik, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar, pesakit yang sudah bebas daripada kanser payudara, mereka mempunyai pilihan untuk melakukan rekonstruksi bagi memulih dan membina kembali bentuk payudara mirip yang asal.

“Pembinaan semula payudara boleh dilakukan dengan tiga pilihan utama iaitu pemilihan isi tubuh badan pesakit itu sendiri (autologous), pembinaan semula menggunakan payudara palsu (prostesis) atau gabungan kaedah autologous dan prostesis.

433136ac 3b77 4d8c 8718 3d574d6a31cd

“Sehingga kini, lebih 500 pesakit kanser payudara direkodkan telah menjalani pelbagai kaedah rekonstruksi (pembinaan semula) payudara di Hospital USM dan kaedah rekonstruksi yang banyak menjadi pilihan pesakit kanser payudara adalah melalui autologous berbanding penggunaan implan atau payudara palsu. Ini disebabkan kekeliruan fatwa, selain kos rawatan yang agak tinggi kerana harga satu implan antara RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada jenis dan kualiti,” ujarnya.

Tambah Fatimah, kaedah autologous ialah menggunakan tisu termasuk kulit dan otot yang diambil daripada bahagian lain badan pesakit untuk membentuk semula payudara sama ada ‘pedicled flap’ atau ‘free flap’.

2a85bc96 5598 415c a294 a0f86b549415

“Tisu lemak pesakit yang diambil akan digunakan untuk menghasilkan payudara yang lembut serta bersifat semula jadi.

“Kelebihan pemilihan kaedah autologous ialah merupakan pembedahan yang kekal dan mempunyai sedikit komplikasi berbanding pembedahan prostesis,” jelasnya lagi.

Fatimah berkata, namun demikian, prostesis pula mempunyai kelebihan dari segi kemudahan untuk melakukan pembedahan dan kekurangan kecederaan yang diakibatkan oleh pengambilan tisu daripada pesakit tersebut.

55f4f5f2 dd56 419a 803a e29141ead228

Sementara itu, Pakar Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruksi Hospital USM, Profesor Dr Wan Azman Wan Sulaiman pula berkata, secara kasar, garis masa pembedahan rekonstruksi payudara terbahagi kepada tiga iaitu pembedahan rekonstruksi segera, pembedahan rekonstruksi awal yang ditunda dan pembedahan rekonstruksi yang ditunda.

“Terdapat dua faktor penentu garis masa sama ada pesakit memerlukan pembedahan rekonstruksi awal yang ditunda atau pembedahan rekonstruksi ditunda iaitu bergantung kepada ‘defek mastektomi’ serta pesakit tersebut memerlukan radioterapi atau tidak,” katanya.

Wan Azman turut menjelaskan bahawa Hospital USM mempunyai kemampuan serta kepakaran untuk membina semula payudara bagi mengembalikan imej dan keyakinan pesakit terhadap dirinya sendiri.

“Pakar-pakar di Hospital USM mempunyai pengalaman yang cukup untuk memberi rawatan yang terbaik kepada pesakit berdasarkan teknologi terkini.

“Selain mempunyai kepakaran melakukan rekonstrusi, Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM juga merupakan satu-satunya pusat latihan sarjana kepakaran klinikal bidang Surgeri Plastik yang terdapat di Universiti Awam di Malaysia," ujar beliau lanjut.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 03 Disember 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.