17 PENSYARAH DAN STAF USM HASILKAN NOVEL DAN ANTOLOGI CERPEN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Disember 2020 – Tugas sebagai seorang pensyarah dan doktor yang merawat pesakit tidak sedikit pun membataskan minat 17 orang staf Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menulis dan menghasilkan karya sehingga berjaya menerbitkan novel dan antologi cerpen.

SAVE 20201229 175328

Bertitik tolak daripada Bengkel Fiksyen Perubatan di bawah seliaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan secara tahunan sejak tahun 2013, bengkel ini berjaya mencungkil dan mengetengahkan bakat warga Kampus Kesihatan dalam bidang penulisan, sekaligus membuktikan bahawa mereka yang bukan dalam bidang bahasa pun mampu menghasilkan karya penulisan seumpama ini.

Dua novel dihasilkan berjudul ‘Isabella Adriani’ dan ‘Cinta Nan Bersemi Kembali’ serta sebuah buku antologi cerpen bertajuk ‘Isteriku 46 XY’ yang memuatkan 23 karya pendek yang ditulis berdasarkan kisah benar diri sendiri dan kisah hidup masyarakat yang digarapkan daripada pengalaman merawat pesakit.

Timbalan Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Adam Husein berkata, penghasilan tiga buah buku ini amat besar maknanya kepada USM dan seluruh warga Kampus Kesihatan selain menjadi wadah perjuangan perkhidmatan perubatan dan kesihatan oleh petugas barisan hadapan merangkap ahli akademik mahu pun bukan akademik.

SAVE 20201229 175316

“Para penulis berjaya menyampaikan ilmu mengenai sesuatu penyakit seterusnya memberi kesedaran penjagaan kesihatan kepada seluruh rakyat Malaysia secara amnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Karya Kreatif Perubatan dan Kesihatan DBP-USM, di sini.

Tambah Adam, para penulis juga memaparkan kisah hidup yang boleh dijadikan rujukan kepada pembaca bagi menangani permasalahan yang dibangkitkan berkaitan pelbagai penyakit.

“Contohnya, cerpen ‘Betulkah Telahan Ouro, Tompok Autisme!’, cerpen berbentuk satira yang mengetengahkan kisah kehidupan pesakit autisme, melalui watak dua ekor kucing, Ouro dan Tompok.  

“Begitu juga dengan cerpen ‘Maafkan Abah Terpaksa Merantai Kakimu’ yang memaparkan kisah Ahmad yang mempunyai seorang anak yang menghidap penyakit bipolar. Secara tidak langsung, antologi cerpen ini mengetengahkan isu semasa dan fakta berkaitan dunia perubatan yang disampaikan secara kreatif,” ujar beliau lanjut.

Menurut Adam lagi, novel ‘Isabella Adriani’ adalah hasil karya seorang pakar perubatan iaitu Profesor Dr. Azidah Abdul Kadir manakala novel ‘Cinta Nan Bersemi Kembali’ pula adalah karya seorang pakar perubatan yang merupakan Ketua Projek Penulisan DBP-USM iaitu Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain.

SAVE 20201229 175305

“Saya meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa keunggulan dan kegemilangan sesebuah institusi atau organisasi adalah terletak kepada semangat kecintaan terhadap pengembangan ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat.  

“Melalui usaha penulisan kreatif ini, saya melihat kesungguhan para penulis terdiri daripada individu yang memiliki pelbagai kepakaran mempunyai keinginan untuk mengembangkan ilmu dan pengetahuan serta membangkitkan kesedaran mengenai sesuatu penyakit,” jelasnya lagi.

SAVE 20201229 175338

Adam turut merakamkan penghargaan kepada DPB yang telah menjadi nadi dan pembimbing utama kepada kelahiran antologi cerpen dan novel-novel ini sekali gus memberi dorongan kepada staf lain untuk turut menyumbang hasil karya mereka.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dan Timbalan Pengarah (Bahasa) DBP, Nor Baizura Ibrahim.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 19 Januari 2021.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.