INFAQKAN MATA SELEPAS MENINGGAL DUNIA UNTUK BERI PENGLIHATAN PADA ORANG LAIN 

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 31 Januari 2021 - Mata merupakan organ anugerah Allah yang istimewa buat hambaNya. Nikmat sepasang mata berupa penglihatan adalah sesuatu yang tidak dapat dinilai dengan harta dan wang ringgit. 

Dengan mata kita mampu melihat wajah orang yang disayangi, ibu, ayah, keluarga dan keindahan isi alam dari langit yang membumbungi, laut yang terbentang luas serta tanah yang terhampar bersama flora dan faunanya.

SAVE 20210131 164346

Menurut Profesor Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Mohtar Ibrahim, setiap tahun, hampir 400 pembedahan pemindahan mata dilakukan di seluruh negara. Masa menunggu untuk menjalani pembedahan juga agak panjang iaitu purata tiga (3) hingga 12 bulan disebabkan kurangnya bekalan kornea dan inilah realiti yang negara kita hadapi sekarang.

“Tisu kornea mata manusia diperlukan untuk merawat kebutaan kornea dan prevalen kebutaan kornea di Malaysia adalah sekitar 3.5% serta hampir 80% sumber tisu kornea yang digunakan untuk merawat pesakit di Malaysia adalah daripada bank mata luar negara.

“Bank mata tempatan amat diperlukan di negara kita untuk mengatasi masalah ini. Beberapa cabaran yang nyata perlu ditempuhi untuk memulakan bank mata termasuklah tahap kesedaran pendermaan organ atau tisu yang rendah dalam kalangan masyarakat, sistem kepercayaan, adat dan taboo yang masih menebal, kempen pendermaan yang kurang berkesan dan sistem penyelamatan organ/tisu belum begitu efektif,” katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Bank Mata Di Malaysia: Antara Realiti dan Harapan dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung secara maya hari ini.

SAVE 20210131 164404

Mohtar yang juga Pakar Perunding Oftalmologi dengan Subkepakaran Kornea dan Permukaan Mata berkata, masyarakat sebelum ini lebih terbiasa mendengar perkataan ‘derma (infaq) organ atau proses mendapatkan tisu’. Istilah ini sepatutnya diperhalusi dan ditukarkan kepada selamatkan, proses penyelamatan atau menyelamatkan kornea mata untuk memberi peluang kepada mereka yang memerlukan meneruskan kelangsungan hidup serta melihat keindahan alam.

“Setelah berjaya mengatasi cabaran berbentuk konseptual, kita perlu mengatasi cabaran berbentuk teknikal pula. Secara teknikal sebuah bank mata memerlukan pembentukan sebuah organisasi ‘berkecuali’ daripada entiti hospital. 

“Ia boleh terlaksana dalam bentuk sebuah institusi yang tidak berorentasikan keuntungan seperti sebuah Yayasan (Foundation) dan institusi ini menjalankan urusan melalui kerjasama rapat dengan pihak hospital yang merupakan penyumbang tisu utama,” jelasnya lagi.

SAVE 20210131 164354

Beliau yang telah 30 tahun berkhidmat di PPSP USM berkata, aspek teknikal seterusnya adalah proses cara kerja penyelamatan tisu yang bermula dengan mendapatkan maklumat tentang kematian seseorang yang berpotensi untuk tisunya diselamatkan.  

“Selepas itu, waris terdekat perlu dihubungi oleh pegawai perhubungan daripada pihak bank mata (yang tiada kaitan dengan pihak hospital) untuk diberi penerangan tentang potensi tisu kornea boleh diselamatkan daripada si mati yang mana jika dibiarkan sahaja akan terus terkubur bersama si mati sedangkan ia boleh menyelamatkan penglihatan dua atau lebih pesakit kebutaan kornea.

“Setelah mendapat keizinan, proses menyelamatkan kornea itu perlu dijalankan dengan segera oleh seorang yang mahir melakukannya kerana kornea perlu disimpan di dalam bahan pengawet tisu dan semua proses ini dinasihatkan tidak mengganggu proses pengebumian jenazah tersebut,” ujar Mohtar lanjut.  

Mohtar berkata, walaupun keluarga si mati telah bersetuju untuk mendermakan tisu, proses penyemakan status si mati tentang penyakit yang dihadapinya termasuk status jangkitan kuman tertentu perlu dilakukan bagi memastikan tisu itu selamat untuk dipindahkan kepada penerima.

“Tisu yang diambil juga perlu melalui proses pemeriksaan fizikal yang teliti dan komprehensif untuk memastikan ia berada dalam keadaan baik dan sesuai dipindahkan kepada penerima.

“Dengan mengambil kira kepakaran, prasarana yang sedia ada dan kemahuan yang kuat, kita sepatutnya berupaya untuk bergerak ke arah penubuhan sebuah institusi bank mata kita sendiri di Malaysia,” ujarnya.

Mohtar turut berharap agar impiannya untuk melihat wujudnya bank mata di Malaysia menjadi agenda nasional demi memenuhi keperluan negara dan sejagat.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 02 Mac 2021.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.