DOKUMENTASIKAN PENGALAMAN KERJAYA BANTU PELAPIS CAPAI KECEMERLANGAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Februari 2021 - Kecemerlangan adalah matlamat diimpikan bukan saja oleh individu tertentu, malah bagi sesebuah organisasi kerana kecemerlangan merupakan natijah daripada beberapa siri kejayaan dalam semua aspek yang diharapkan. 

Tiada kecemerlangan bersama  kelemahan, kegagalan atau mundur ke belakang. Kecemerlangan membawa implikasi maju ke hadapan, bersifat dinamik, gemilang, menerima sanjungan dan menjadi idola individu atau masyarakat.

85e54f97 44bc 44ef a6f6 23522ee41186

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim berkata, aspek paling utama atau 'critical success factor' dalam organisasi ialah aspek kemanusiaan dan perhubungan pekerjanya. 

“Walaupun organisasi dilengkapi teknologi termoden dan sistem paling canggih, ia tidak bermakna sekiranya sifat kemanusiaan tidak dikongsi dan dihayati bersama dalam melakukan pekerjaan. 

“Pekerjaan akan menjadi lebih bermakna jika dilakukan oleh manusia yang memiliki kestabilan emosi, kesopanan perilaku, kekuatan dorongan dan kemurnian hubungan,” ujarnya semasa menyampaikan ceramah motivasi kepada staf Perpustakaan Hamdan Tahir selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pementoran Perpustakaan secara maya di sini.

Tambah Sukari, keinginan seseorang untuk berjaya bergantung kepada pemikiran yang positif, kesediaan mental dan fizikal serta keyakinan yang tinggi untuk menghadapi cabaran dalam setiap tugas yang diamanahkan.

“Setiap orang tidak boleh lari dari komitmen sama ada terhadap kerjaya, keluarga dan ibadat kerana setiap komitmen itu memerlukan hala tuju bagi mencapai matlamat yang diinginkan.

“Apabila setiap orang mempunyai target atau hala tuju yang diinginkan, mereka akan lebih bersemangat untuk memberi tumpuan (focus connection) bagi memastikan mereka berjaya dalam setiap bidang yang diceburi,” jelasnya lagi.

9f67a513 c930 42f1 857c fcf52536d8e8

Sukari berkata, keyakinan diri (confidence) juga antara kunci untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup.

“Suka saya ingatkan, keyakinan diri adalah perkara asas yang perlu dimiliki oleh semua orang kerana keyakinan diri bukan sahaja keyakinan untuk berdiri di khalayak ramai, malah keyakinan diri untuk mencuba sesuatu yang baharu, menghadapi dan mengatasi masalah untuk mencipta kejayaan.

“Kita perlu percaya kepada diri sendiri bahawa kita mampu mencapai sasaran yang tetapkan dan dalam proses pembelajaran, jangan malu atau takut untuk mengutip pengalaman serta ilmu daripada mereka yang mempunyai kepakaran atau pengalaman yang banyak tentang sesuatu perkara,” katanya.

Mengulas mengenai Program Pementoran Perpustakaan yang dijalankan di Perpustakaan Hamdan Tahir, Sukari berharap inisiatif yang cukup penting itu turut diguna pakai oleh Bahagian Sumber Manusia USM Kampus Kesihatan.

“Program mentor menti ini bukanlah sesuatu yang baharu, namun pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh orang lama (senior) sepatutnya dibukukan dan dijadikan rujukan untuk golongan yang baharu memulakan kerjaya.

“Sebelum ini pengalaman dan kepakaran orang lama lenyap begitu sahaja apabila mereka bersara, gunakanlah peluang yang ada dengan mengorek sebanyak mana ilmu mereka untuk menambah baik kelemahan kita,” jelasnya lanjut.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 02 Mac 2021.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.