PEGAWAI FARMASI ANTARA WATAK PENTING PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Mac 2021 – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilancarkan baru-baru ini menjadi sejarah baharu buat negara apabila ianya mendapat liputan meluas serta kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan program tersebut berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.

Selain daripada petugas kesihatan seperti Pegawai Perubatan dan jururawat yang bertugas di barisan hadapan dalam memberikan suntikan vaksin, ahli farmasi juga memainkan peranan penting memastikan keselamatan penyimpanan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan penghantaran vaksin ke Zon Pemberian Vaksin (ZPV).

SAVE 20210304 214009

Pegawai Farmasi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Asyraf Suhaimi dan Siti Nadiah Mohamad Suhane, merupakan dua individu yang menggalas tanggungjawab sebagai pegawai penerima vaksin bagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Hospital USM.

Menurut Asyraf, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Hospital USM yang bermula pada 1 Mac lalu berjalan dengan lancar dan kita telah menerima bekalan vaksin sebanyak dua kali pada minggu ini iaitu pada hari Ahad dan Selasa dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV).

“Memandangkan vaksin ini sensitif terhadap suhu ianya perlu disimpan dalam penyejuk beku bersuhu Ultra-Rendah (Ultra Low Temperature Freezer - ULTF) di PSV dengan suhu -90°C sehingga -60°C bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan optimum sebelum dicairkan dan dibekalkan ke PPV terlibat.

SAVE 20210304 213943

“Bagi tujuan pembekalan ke PPV, vaksin akan dipindahkan ke kotak sejuk (cold box) dengan suhu simpanan 2°C hingga 8°C dan dimasukkan ke dalam peti sejuk muatan atas, dengan suhu penyimpanan yang sama setelah tiba di PPV," ujarnya yang ditemui di ZPV Dewan Utama, Kampus Kesihatan selepas sesi penyerahan vaksin bagi suntikan pada hari keempat, hari ini.

Tambah Asyraf, vaksin yang disimpan di PPV pada suhu 2°C hingga 8°C mempunyai jangka hayat sehingga lima (5) hari atau bersamaan dengan 120 jam sahaja dan setakat ini semua vaksin yang diterima disimpan dengan baik untuk penggunaan dos sehingga hari Jumaat nanti.

SAVE 20210304 214000

"Setakat ini, sebarang pembaziran vaksin berjaya dielakkan dengan perancangan rapi yang telah disusun bersama oleh semua pihak termasuk Pegawai Perubatan dan Jururawat.

“Saya sangat berbesar hati menerima tanggungjawab sebagai pegawai penerima vaksin di PPV Hospital USM dan akan memastikan proses penerimaan, penyimpanan dan pemberian vaksin dapat berjalan lancar sebagaimana sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," jelasnya lagi.

 IMG 20210304 215025

Asyraf yang bertugas di Unit Stor Farmaseutikal, Hospital USM turut dibantu oleh dua orang Penolong Pegawai Farmasi iaitu Muhammad Mahadi Mustapha@Hashim dan Noraida Nawawi demi memastikan semua proses berjalan lancar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Farmasi, Hospital USM, Norita Abdul Hamid@Jusoh berkata, beliau telah bersedia dari aspek-aspek yang berkaitan dan menetapkan staf yang spesifik untuk mengendalikan segala proses berkaitan vaksin bagi program tersebut.

“Keempat-empat petugas telah diberikan latihan dan pendedahan bukan sahaja dari aspek penyimpanan vaksin, keselamatan vaksin malahan mereka juga perlu menyediakan laporan harian untuk dihantar kepada saya, JKNK dan Bahagian Farmasi Malaysia.

SAVE 20210304 214026

“Sebagai Ketua Jabatan, saya mengharapkan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, ikhlas, komited, berintegriti dan menjaga kerahsiaan kerana sepertimana yang kita tahu, pada ketika ini vaksin merupakan satu perkara yang amat sensitif dan semua rekod-rekod berkaitan dianggap sulit," katanya.

Norita turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak khususnya para pemandu kenderaan jabatan dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang melancarkan proses pengambilan vaksin di PSV ke Hospital USM.

“Secara umumnya, suka saya nasihatkan kepada semua staf di Kampus Kesihatan untuk mendaftar sebagai penerima vaksin kerana ia penting untuk membantu melindungi kita daripada jangkitan COVID-19. 

"Usah terpengaruh dengan berita yang tidak benar berkenaan vaksin dan dapatkan informasi daripada sumber yang sahih demi kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat," ujar beliau lagi.

 

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto:  Abdul Hasib Abdul Rahman & Muhd Zulkifli Zakaria

doctor di radio

infomedic usmkk

 

icon hebahanemail

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 14 April 2021.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.