‘RUN FOR CLEFT’ KUTIP DANA BANTU KANAK-KANAK KLEF BIBIR

thumbnail Run For Cleft

KUBANG KERIAN, 24 April 2016 – Larian amal menjadi trend bagi masyarakat hari ini yang mementingkan aspek kesihatan selain beramal untuk membantu golongan memerlukan.

Menurut Pengarah Program Larian Amal ‘Run For Cleft 2016’, Izyan Izzati Mohd Razif, yang juga pelajar tahun dua Program Sains Pergigian, larian ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM.

“Acara larian yang bertemakan ‘Smile By Miles’ merupakan penganjuran kali yang ke-4 sejak 2013 bertujuan untuk mengutip dana bagi membantu kanak-kanak klef bibir dan lelangit di samping memupuk kesedaran masyarakat di luar sana sama-sama membantu menyumbang kepada golongan ini.

“Hasil kutipan ini akan disalurkan kepada Persatuan Klef Bibir Dan Lelangit Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Hospital USM (PEKA),” katanya.

thumbnail Run For Cleft 3

Izyan berkata, hampir satu daripada 1,000 orang kanak-kanak di Malaysia menghidap masalah klef bibir. Larian sejauh enam kilometer yang diadakan di Kompleks Sukan II, Kampus Kesihatan (USM), mendapat penyertaan hampir 550 orang pelari sukarela dari dalam dan luar Kota Bharu malah turut mendapat penyertaan dari Singapura.

“Sebagai pelajar, saya dan rakan-rakan bijak menggunakan masa yang ada untuk melaksanakan pelbagai usaha promosi termasuk menggunakan media sosial bagi menarik minat para peserta.

“Apa yang menarik hampir 200 penyertaan awal diterima setelah seawal dua minggu pendaftaran dibuka dan ini membuktikan rakyat Malaysia amat perihatin membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya lagi.

Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) USM, Profesor Dr. Adam Husein mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang menyahut cabaran larian pada kali ini.

Bercakap ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam program ini, Adam berkata, USM sememangnya menyokong aktiviti program sebegini bagi membantu golongan yang memerlukan dan secara tidak langsung Persatuan Sains Pergigian dengan kerjasama pelbagai pihak telah berjaya membuat pembedahan amal untuk pesakit klef bibir dan lelangit.

Sementara itu, menurut salah seorang peserta, Mohd Sobri Mat Desa, 42, ketika ditemui berkata, walaupun sudah agak berusia, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk menyertai apa jua program amal termasuk larian demi menjaga kesihatan diri.

“Saya begitu teruja sekali dapat menyertainya buat kali kedua kerana secara tidak langsung dapat beramal dan berharap agar program seumpama ini perlu dijadikan program yang berterusan untuk menarik kesedaran orang ramai dalam membantu pesakit klef bibir,” katanya.

Selain itu, menurut Anis Azniriza Zainol, 36, beliau menyertai larian amal itu untuk meningkatkan tahap kesihatannya dan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh pelari-pelari sukarela lain membuktikan pesakit klef bibir di negeri ini sentiasa mendapatkan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut Wee Yu Ghee, 38, selain dapat beramal dan meningkatkan kesihatan, larian amal itu juga menjadi medium penyatuan masyarakat berbilang kaum negeri ini.

“Meskipun para peserta tidak mengenali satu sama lain, namun mereka secara tidak langsung dapat berkongsi perasaan gembira kerana dapat berlari bersama-sama,” ujar beliau.

Yang turut hadir ialah Timbalan Dekan Akademik Pelajar dan Alumni Pusat Pengajian Sains Pergigian, Dr Mohd Fadli Khamis; Timbalan Dekan Penyelidikan, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Dr Azlina Ahmad; Wakil Cleft, Lip And Palate Association Malaysia (CLAPAM), Dr Wan Azman Wan Sulaiman dan Wakil PEKA, Profesor Madya Dr Ariffin Nasir.

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 25 Oktober 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.