ANJAKAN PARADIGMA PERLU UNTUK PERUBAHAN MASA DEPAN YANG GEMILANG

KUBANG KERIAN, KELANTAN 26 Mei 2014– Bagi memastikan pencapaian masa depan yang lebih gemilang, anjakan paradigma dengan minda yang terbuka luas perlu ada pada setiap diri warga Universiti Sains Malaysia (USM).

Berucap dalam Majlis Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Khidmat Sanjungan Budi dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2013  di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal mewakili Naib Canselor USM berkata, corak pemikiran kini perlu lebih terbuka dan tidak hanya dalam ruang lingkup yang sempit sahaja. Berfikir di luar kotak misalnya dapat memastikan sesuatu yang unik dan baharu dapat dijelmakan dengan lebih sempurna.

“Ada kalanya kita perlu bekerja dan bergerak pantas dalam sesuatu perkara, namun kita juga perlu berhati-hati agar setiap pelaksanaannya akan lebih teratur.  Apatah lagi dengan cabaran masa depan yang memerlukan agar kita untuk lebih bersikap kreatif dan inovatif dalam semua lapangan supaya lebih ke hadapan berbanding orang lain”, katanya. 

“Kita juga perlu memahami dan menghayati semula DNA jawatan dan tugasan hakiki masing-masing agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih efektif serta hasilnya juga lebih mantap. Dalam masa yang sama, segala tugasan harian dapat dilaksanakan tanpa menanti arahan secara berterusan serta bijak membuat keputusan,” tambah beliau.  

Pada majlis ini, untuk Anugerah Jasamu Dikenang seramai 28 orang staf Kampus Kesihatan, USM telah menerimanya meliputi mereka yang telah bersara wajib, bersara pilihan dan kembali ke rahmatullah.

Manakala untuk Anugerah Khidmat Sanjungan Budi pula mencatatkan seramai 77 orang penerima untuk staf yang telah menabur jasa dan bakti mereka pada USM menjangkau tempoh melebihi 25 tahun dan seramai 380 orang staf yang cemerlang dalam tugasan mereka telah dianugerahkan dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Mengulas lebih lanjut,  Ahmad Shukrimejelaskan bahawa “multi tasking” amat penting pada diri seseorang staf itu namun perkara asasnya ialah mereka perlu memahami konsep DNAnya terlebih dahulu agar turutan kerja dan penyandang satu-satu jawatan akan lebih fokus dengan tanggungjawab mereka.

“Sesuatu institusi itu akan menjadi lebih kuat dan kejat sekiranya semua peringkat stafnya memahami peranan diri masing-masing serta secara tidak langsung mampu melahirkan seorang pengurus, pentadbir dan staf yang boleh dianggap sebagai “transformational leaders” dalam setiap kelompok yang ada”, ujar beliau lagi.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah Hospital USM, Dato' Dr. Zaidun Kamari, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Ahmad Sukari Halim, Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor / Pejabat Perhubungan Awam / Pejabat Pemajuan Dan Perhubungan Alumni, Kampus Pulai Pinang USM mewakili Pendaftar USM, Encik Mohamad Abdullah, Timbalan Pendaftar Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan USM selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tuan Haji Yusoff Abdullah, ketua-ketua jabatan serta para tetamu jemputan yang lain.

doctor di radio

infomedic usmkk

SIPC

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 25 Oktober 2020.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.