SAKIT TAPAK KAKI USAH DIPANDANG REMEH

photo 2019 01 06 15 55 14

KOTA BHARU, KELANTAN, 6 Januari 2019 – Tapak kaki manusia terdiri daripada tulang kaki, ligamen dan tendon, lapisan otot, fascia serta saluran darah dan saraf. Sakit tapak kaki kebiasaannya berpunca daripada radang selaput atau fascia pada tapak kaki yang dikenali sebagai ‘Plantar Fasciitis’.

Menurut Pensyarah dan Pakar Perubatan Rehabilitasi, Unit Perubatan Pemulihan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Al Hafiz Ibrahim, umumnya pesakit akan selalu mengadu sakit di tapak kaki terutama selepas bangun dari tidur ataupun melakukan aktiviti berjalan dan berdiri terlalu lama.

“Keadaan ini bukan sahaja menyakitkan malah akan menggangu kehidupan seharian pesakit apabila tidak dapat bergerak dengan pantas sehingga menyebabkan tugas harian tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna,” ujarnya ketika menjadi tetamu slot ‘Sembang Sihat’ di Radio Kelantan FM, di sini.

Al Hafiz berkata, kesedaran masyarakat terhadap masalah yang dihadapi pada anggota kaki amat rendah dan ramai yang menganggap kesakitan yang ditanggung merupakan perkara kecil serta akan pulih sekiranya mendapat rehat yang mencukupi.

“Masyarakat masih tidak menyedari kesakitan yang ditanggung kadangkala boleh mendatangkan kesan negatif kepada pesakit itu sendiri kerana sakit pada tapak kaki secara umumnya terbahagi kepada tiga bahagian iaitu jari kaki, depan tapak kaki dan belakang kaki.

“Kebanyakan masalah ini berpunca daripada pemakaian kasut yang tidak sesuai seperti kasut wanita bertumit tinggi yang tidak selesa atau sempit,” jelasnya lagi.

Tambah Al Hafiz, kesakitan pada bahagian depan tapak kaki biasanya melibatkan tulang metatarsal (kelima-lima tulang pada kaki yang menyambung pergelangan kaki kepada jari-jari kaki) dan tulang sesamoid (tulang berbentuk nodul bujur yang terletak di dalam tendon dan melongsor di atas permukaan tulang lain).

“Individu lebih berusia atau gemuk, wanita, pesakit diabetis, pesakit jantung atau yang alami kesakitan pada lutut, pinggul atau belakang mempunyai kadar lebih tinggi mengalami masalah kaki.

“Golongan wanita lebih ramai mengalami masalah sakit pada jari dan bahagian bawah jari kaki berbanding lelaki dan biasanya keadaan ini semakin teruk apabila usia meningkat serta pertambahan berat badan,” katanya.

Menurut Al Hafiz lagi, antara rawatan yang selalu dilakukan terhadap pesakit ialah dengan memberi ubat tahan sakit bagi mengurangkan radang selain merujuk kepada pakar fisioterapi bagi melatih pesakit melakukan senaman tertentu untuk mengurangkan kesakitan dan mengelakkan dari penyakit ini semakin teruk.

“Sekiranya rawatan tersebut tidak berkesan, doktor akan memberikan rawatan suntikan steroid pada bahagian fascia yang berfungsi untuk mengurangkan serta menghilangkan sakit dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Langkah berikutnya jika rawatan tadi tidak berkesan, doktor akan memberi injeksi ‘botulium toxin’ pada bahagian fascia dan otot di kaki bagi melemahkan otot yang ketat dan memudahkan senaman regangan namun begitu kos injeksi ini agak mahal dan hanya kes-kes yang tertentu sahaja akan diberi keutamaan,” ujarnya.

Al-Hafiz turut menjelaskan bahawa jika kesemua rawatan yang dilakukan tidak berjaya atau tahap sakit yang semakin serius, pembedahan akan dilakukan bagi merawat penyakit ini.

Teks/Foto : Anawiah Abdul Aziz

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 14 Januari 2019.

 

© 2018 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.