BORNEO: KEUNIKAN BUDAYA YANG TERSIMPAN

USM KUBANG KERIAN, 8 Disember 2018 – Malam Kebudayaan Borneo atau lebih dikenali sebagai ‘Borneo Cultural Night’ (BCN) 2018 merupakan salah satu medium buat mahasiswa dan mahasiswi Universiti Sains Malaysia (USM) menonjolkan keunikan dan kehidupan etnik serta kaum yang tinggal di Kepulauan Borneo kepada warga USM dan masyarakat luar.

Bertemakan ‘Live Museum”, BCN pada tahun ini merupakan penganjuran kali ketiga di bawah Sekretariat Bayu Kenyalang.

bcn18a

Pemangku Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM merangkap Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr. Adam Husein berkata, kebudayaan adalah sesuatu yang perlu dipelihara bagi membolehkan generasi masa hadapan meneruskan kesinambungannya.

“Penganjuran BCN ini merupakan satu platform yang baik kepada siswa siswi untuk menerapkan kefahaman tentang kehidupan rakyat Malaysia yang majmuk apabila bersama-sama dalam melaksanakan sesuatu program dan peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengenali persamaan dan perbezaan budaya yang ada terutamanya kepada pelajar dan pelancong asing.

“Saya dimaklumkan, untuk merealisasikan program ini, penglibatan bukan sahaja terdiri daripada kaum bumiputera Sabah dan Sarawak tetapi juga mendapat kerjasama daripada siswa siswi kaum India dan kaum Cina serta pelajar dari Semenanjung Malaysia yang membantu dalam menjayakannya”, ujarnya semasa menyampaikan ucapan perasmian BCN 2018, di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, di sini.

bcn18b

Menurut Adam, USM sememangnya amat mementingkan pembangunan sahsiah pelajar melalui aktiviti-aktiviti seperti ini yang dilihat mampu meningkatan kemahiran insaniah siswa siswi.

“Pada era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, ilmu akademik tidak semestinya boleh menjamin kejayaan tanpa melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan. Maka, program seperti ini pada hemat saya perlu diteruskan dan dijadikan wadah untuk menjana perpaduan dan kesejahteraan warga USM.

“Saya menyeru semua kelab dan persatuan pelajar agar dapat merancang dan menjalankan aktiviti-aktiviti berimpak tinggi dan memberi kesan positif kepada komuniti kampus sekali gus membuka minda kita akan rencah hidup masyarakat Sabah dan Sarawak serta menyedari bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan budaya, adat serta tradisi yang pelbagai”, ujarnya lagi.

bcn18c

BCN pada kali ini menampilkan pelbagai persembahan seperti tarian, nyanyian lagu tradisional Bumi Kenyalang dan Negeri Di Bawah Bayu, sketsa serta turut diserikan dengan persembahan jemputan daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Persatuan Adikarma USM, Kampus Kesihatan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Norazmi Mohd Nor dan Penolong Pendaftar Unit Pembangunan Pelajar, Kebudayaan dan Keusahawanan merangkap Penasihat Sekretariat Bayu Kenyalang, Khairul Syahmi Brahim.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Aziz Latif

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 17 November 2019.

 

© 2018 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.